Wednesday, July 12, 2006

Pembaharuan dan penerimaan


Kelas bahasa inggeris itu baru sahaja kutinggalkan. Laju derap tapakku melangkah pulang untuk menulis sebaris dua di ceritera yang telah menunggu lama. Bimbang benar akan perjalanan itu dapat mengeringkan segala buah fikiran yang selama ini kusimpan sejak di kelas tadi. Nah, sekarang aku di sini. Di hadapan kekuci yang sesetia aku jua. Peluh masih belum kering. Baju kurung ke kelas tadi pun masih lekat di tubuh, namun beria benar kurasakan mahu menulis perkara yang satu ini. Entah untuk siapa, aku kurang pasti.

Guru bahasa inggeris ku itu seorang melayu yang cekal jiwa. Dengan perwatakan yang berhemah dan cukup bersahaja. Sekali imbas, ingin saja aku memanggilnya ‘cikgu’ berbanding 'sir'. Kerana gayanya mengingatkan aku pada Tunku yang berbaju YB, bersongkok senget tinggi. Benar rupanya, guruku bersemangat waja. Seperti bapa kemerdekaan lagaknya. Namun kenapa bahasa jajahan itu jadi pilihan?? Kenapa bahasa inggeris itu jua yang jadi bahan pengajaran?? Bukankah lebih indah andai dia dapat mendidik pemuda2 kita menyayangi dan menghargai bahasa tanah ibunda? Aku makin keliru.

Lima belas minit mendengar perbahasan cikgu bahasa inggeris itu, hatiku kembang kuncup. Berbangga dan bertuah aku dapat mengenali insan seperti cikgu. Mulutnya berbuih mengutara bahasa inggeris yang penuh gaya dan wacana. Namun hatinya tetap menyanjung penuh bahasa ibunda. Cikgu berpesan bahawa dunia sekarang mengHARUSkan kita untuk menguasai bahasa inggeris. Tanpa bahasa inggeris, kita takkan mampu kemana. Politik akan jadi gundah, ekonomi akan jadi lemah. Bahasa inggeris adalah bahasa kekuasaan, bahasa kemodenan dan bahasa kemajuan. Untuk maju, kita terpaksa meniru kerana kita adalah bangsa yang BELUM lagi berjaya sepenuhnya. Jadi kata cikgu, apa salahnya kita mendalami bahasa penjajah ini seandainya ia dapat membawa kita untuk lebih menghargai bahasa sendiri. Ah, benar sekali rasanya kata2 cikgu itu. Dalam diam aku tersenyum. Aku sama sekali tidak menbenci atau ‘anti’ bahasa inggeris. Tidak. Cuma seperti yang telah kukatakan dulu, aku lebih gemar dengan bahasa ibundaku sendiri, walaupun sudah nasibku terpaksa menghadapi bahasa inggeris ini sepanjang pembelajaranku di menara tinggi. Terima kasih cikgu. Beliau telah memberiku satu intipati baru dalam memperjuangkan bahasa melayu. Pembaharuan yang memerlukan penerimaan.

“Accepting english does not mean ignoring bahasa Melayu.”

Benar kata cikgu. Menerima bahasa inggeris sebagai bahasa hari ini tidak bermakna mengabaikan bahasa ibunda yang telah lama bertakhta. Pembaharuan memerlukan pengorbanan. Dan pengorbanan perlulah pula dilakukan semangat keazaman. Kita bukan lagi melayu yang beku, tunduk membisu, kaku membatu. Kita perlu bangkit seiring dengan kuasa besar dunia. Bangkit dengan semangat yang kental, jiwa yang cekal, hati yang anjal. Biar kita jadi rakyat yang berjaya dengan wang ditangan, bahasa di mulut, Tuhan di hati, musuh di kaki, ilmu di dada dan zuhud di wajah. Biar kita jadi umat Islam yang maju membangun agama Allah. Yang berjaya di akhirat dan di dunia. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya…

Sekarang aku akan cuba untuk menerima pembaharuan yang dimaksudkan cikgu. Bahasa kemodenan itu akan kucuba fasih dan tajamkan. Biar aku jadi pemuda cemerlang yang boleh hidup di timur mahupun di barat. Biarpun dengan bahasa melayu yang pekat dan bahasa inggeris yang pelat. Biar desing telinga mendengar, sakit mata melihat. Andai itu resepi kejayaan, aku pasti merasa dan biar pahit kutelan jua. Kerana aku pemuda yang mahu bangun memperjuangkan apa yang sepatutnya. Tak kira untuk siapa dan di mana. Aku sanggup mati demi kebenaran dan sanggup hidup dengan seribu kepayahan. Biar mati dicincang badan, yang hak itu pasti kujuangkan…

pesan Tun Dr. Mahathir: "MUSUH utama orang Melayu ialah orang Melayu sendiri. Ini kerana kemajuan satu-satu bangsa bergantung kepada nilai hidup bangsa itu... kalau baik nilainya, mereka maju, kalau baik nilainya tapi tidak diamalkan, bangsa itu tidak dapat maju. Yang akan halang orang Melayu maju ialah pegangan nilai yang tidak baik. "

1 comment:

Zamri Mohamad said...

Catatan memoir di sebalik kisah Cikgu Mazlan yang menyegarkan kenangan saya belajar di bawah didikan beliau!

ZAMRI MOHAMAD
www.motivasimindamu.blogspot.com