Wednesday, October 22, 2008

Hilangnya Citra Bahasa

Dan di petang itu, seperti petang2 yang biasanya, aku manjakan diri membaca Putera Gunung Tahan karya Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako. Telah saban tahun hikayat yang satu itu aku simpan entahkan berapa lama. Sudah berhabuk dan bersawang juga. Telah juga kubaca beberapa tahun yang dulu, sewaktu minat terhadap bahasa masih di kadar2 biasa. Namu pembacaan yang kali ini didatangkan dengan rasa dan jiwa. Dan di petang lagi cemerlang itu berbungalah jiwa2 yang jatuh cinta pada peradaban bahasa dan sasteranya

Maka jika hendak disimpulkan secara ringkasnya di sini, dapatlah aku katakan bahawa karya Pak Sako yang satu ini sangatlah bijak diperbuatnya. Kisahnya ringan dan bersahaja, namun dapat pula menyentuh dan mencubit sedikit rasa, baik gembira, duka mahupun yang gelak tawa

Dan jika diamati kembali, bukanlah sedikit karya2 yang diterbitkan penulis2 moden yang berbangga dengan karya2 mereka yang mungkin beberapa lampir dan beberapa buahnya. Namun bukanlah banyak atau sedikit yang kita kisahkan, selain betapa bernilainya karya yang disuratkan walaupun hanya dengan secoret perkataan. Dalam bahasa lain, berapa pun helaian muka surat itu tidak penting melainkan isinya disusun rapat dan erat, tertulis kemas dalam lembaran dan dapat ditangkap akal fikiran

Namun, disamping banyaknya karya2 hasil tulisan anak2 muda yang tersenyum bangga dengan tulisan mereka, jarang juga yang mampu memberikan nilai dan maksud perjuangan juga cinta dalam ertikata yang sebenarnya. Yang banyaknya cuma dgn kisah2 cinta murahan yang diselit sedikit unsur2 keagamaan. Maka selayaknya ia merimaskan aku waima dengan membaca permulaan di muka paling depan. Dan selayaknya karya mereka itu kubakul sampahkan!

Lalu di petang aman damai itu terpukaulah aku pada bahasa dan persuratan orang dulu2, yang mana boleh juga mereka berseloka dan berkias dengan bahasa paling lembut yang pernah didengar telinga. Kiasan mereka walaupun ringkas, senang juga tertangkap oleh akal2 yang terbuka dan cerna. Maka kagumlah aku membaca akan karya yang lama2 itu, dan seakan2 mahu pula aku berguru dengan penulis dulu2 yang ramainya telah meninggalkan dunia itu. Itu pun kalau mampu

Dan terfikir di benakku bahawa menjadi penulis ini bukanlah dengan jalan mudah dan riang berbunga sahaja. Dan bukanlah menulis itu dengan niat mendapatkan derajat atau nama atau laung-laungan yang memuja-muja. Jadi tidaklah menghairankan jika tulisan yang berunsur sastera dan kebudayaan jarang mendapat tempat di jiwa pembaca. Umumnya kerana mereka itu sendiri tidak cukup dalam kecintaannya pada bahasa dan budayanya

BLOG

Lalu teringatlah aku akan sekitar tiga tahun dulu sewaktu aku mula mahu mencipta diari maya yang dipanggil BLOG itu, sudah pula kusimpulkan tekad untuk berbicara tentang ketinggian budaya dan bahasa. Maka setelah bertahun pula melazimkan diri menulisnya, sedarlah bahawa penulisanku itu telah banyak tersasar dari tujuan asalnya

Jika berkesempatan, mahulah aku mengajak para pembaca membuka kembali entri2 ku yang kutulis lama dulu. Benar juga segalanya telah berubah, kerana aku juga berubah lantaran menulis hanya untuk nama. Jika dulu tidak banyak yang maklum dan tahu tetang kewujudan CERITERA ini, namun bahasa dan citranya cocok dan indah sekali. Biarpun tidak wujud sebarang komen yang kuperolehi, namun aku berpuas hati kerana apa yang tertulis sememangnya datang dari hati

Namun di tahun2 kebelakangan ini, ternampaklah akan perubahan yang berlaku dalam CERITERA tersayang, yang mana telah banyak kenalan dan pembaca yang datang bertandang, maka berubahlah aku daripada memuskan hati nuraniku kepada memuaskan mata2 orang yang memandang

Ah, sesal benar aku, kerana telah lama aku tersasar dari tujuan penulisanku. Dan kecewa aku kerana aku menulis untuk orang dan bukan untuk diriku, sedang kuciptakan diari maya ini untuk mengingatkan diriku sendiri, untuk menerangi hatiku yang gelap sunyi. Dan terjawablah persoalan mengapa walau telah sebanyak mana pun tulisan2 yang kukirimkan, jiwaku masih dirundung kekosongan. Betapalah tidak kosong jika yang ditulis itu bukan ciptaan jiwa, bahkan ciptaan akal dan nafsu semata. Maka mengertilah aku bahawa aku juga tidak banyak beza dari penulis2 moden yang kebanyakannya menulis kerana uwang dan nama

Lalu di petang aman makmur ini, moganya dapatlah kuluruskan kembali haluanku yang telah membengkok lama dulu. Menulis dari hati dengan gaya dan corak bahasa yang turun ke hati. Biar benci dan meluat manusia membacanya, asalkan gembira dan ceria naluri dan jiwaku yang cintakan bahasa. Dan aku rela dipulaukan dan diperkecilkan, asalkan penulisan yang sebegini gaya berjaya kupertontonkan pada dunia, biarpun dengan jerih dan payahnya. Dan biarpun hanya dibaca oleh dua mata – yakni mataku yang menulisnya…...

No comments: