Monday, November 11, 2013

Pagi Ahad, 10 November

Matahari memancar terang. Indah dan galak. Hari ini hari Ahad, 11 pagi waktu london dan seharusnya lewat lapan jam dari tanah air tercinta, saya keluar rumah berbaju sukan. Lengkap dengan sweater dan track bottom. Siap berkasut sukan, niat mahu mengeluarkan peluh. Itu pun dengan pertolongan matahari, kononnya.

Namun sejauh mana pun lah saya berlari, sederas mana pun lariannya, peluh tidak mengalir juga. Malah makin sejuk pula terasa lantas meremangkan reroma. Di dalam mahupun di luar rumah kedua-duanya sama sahaja. Dingin di mana-mana. Saya rimas. Lemas. Lesu. Buntu

Sungguh, saya rindu hangat Malaysia. Saya rindu menyeka peluh yang mengalir di dahi. Saya rindu rimas dan sesak dek hawa panas dan lembap itu. Sungguh, saya tidak tipu bila saya kata saya rindu

Tidak ada bau hujan yang unik apabila terkena jalan berturap yang panas di tanah saya berdiri kini. Itu cuma ada di Malaysia, atau mana-mana daerah dunia yang selalu panas terik dan hujan turun tiba-tiba. Tapi bukan di sini. Paling tidak pun, bukan di waktu ini

Sudah lama matahari tidak timbul di London. Kerap hanya hujan dan mendung. Semendung hati yang keseorangan.  Saya tidak berteman. Bukan teman hati. Saya maksudkan kawan. Ya, saya susah berkawan. Saya tidak pandai berkawan. Bersosial apatah lagi. Adakalanya saya mengutuk-ngutuk diri saya yang lemah ini. Entahlah kenapa saya memang susah mencari kawan. Dan saya sangat memilih dengan siapa saya berkawan. Lalu saya jarang ada teman akrab. Tapi kalau ada, saya bersahabat sungguh2. Selalunya begitu

Saya rindukan Aja, K.Dayah, Deena, Ayu dan Kak Azie. Saya rindu helai tawa mereka. Ya, kami masih berhubung melalui chat group di whatsap tapi semua itu tentulah tidak sama.

Saya rindu gelak tawa adik2 saya. Usikan mereka. Dan bebelan ibu saya tentunya. Tentang ikan di pasar, tentang barang2 yang makin mahal, tentang itu tentang ini. Tentang semua perkara yang ibu saya amati. Oh.. Tidak dapat saya nyatakan denyut rasa ini. Saya rindu keributan keluarga besar saya. Makcik2 dan sepupu2 saya. Saya rindukan keserabutan dan kekalutan itu.

Jika saya tidak ke sini, tentulah saya tidak akan mengetahui harga atau nilaian sesuatu perkara

Ya, hanya kerana apabila apa yang saya suka dan mahu itu telah tiada, atau dalam erti kata lain tidak dapat saya perolehi lagi, baru saya reti menghargai

Saya baru tahu menghargai nilaian sinar mentari, nilai peluh yang mampu saya seka di dahi, nilai panas, nilai ribut, nilai kalut, nilai sesak, nilai tanah tumpah darah itu. Hmmm.. (keluh)

Baik atau buruk sesuatu perkara itu hanya terletak pada persepsi dan pendapat kita. Yang sering kita hubungkaitkan dengan persekitaran. Kita pelik kenapa Allah jadikan kita orang kampung, kita hitam, kita pendek contohnya. Kita suka mata orang yang biru, kulit orang yang cerah dan rambut orang yang merah. Jarang sekali kita melihat cermin dan berbisik dalam hati, 'syukur dengan rambut yang hitam ini, ia lambang peribadi'. Kita selalu lupa, Allah adalah sebaik-baik pencipta, penentu segala. Allah cipta mengikut keperluan kita. Sebab Allah tahu itu yang terbaik dan termolek untuk kita

Kita mengeluh apabila negara kita tidak ada empat musim yang kononnya menyeronokkan, lalu kita cipta sesalju kita sendiri. Kita buat apa yang orang lain ada supaya kita dapat rasa apa yang mereka rasa. Sampai kita lupa memandang pada rumput yang menghijau, padi yang menguning, pantai yang membiru, nyiur yang melambai. Kita lupa menoleh kepada diri kita sendiri. Kita cuma mahu apa yang orang ada walaupun nyata kita tidak memerlukannya

Kita makhluk yang pelik

Namun bagus kalau kita punya cita-cita besar. Menjelajah dunia contohnya. Mengenal budaya dan kehebatan bangsa lain, untuk kita bangun berjuang dan berjalan seiring. Kita tidak akan hebat kalau kekal di satu tempat. Kita perlu cuba dan gagal sebelum tahu di mana letaknya titik jaya. Tapi jangan pula sampai lupa di mana asal usul kita. Begitu saya kira

......................

Saya tidak membawa telefon bimbit untuk berkongsi gambar dengan anda. Gambar taman tasik yang indah, dengan itik2 dan angsa berbulu tebal, dengan pengunjung yang berlari2 anak dengan anjing peliharaan mereka, atau sekadar duduk2 saja memerhati manusia mundar mandir. Atau yang leka memancing. Atau yang jalan2 dengan keluarga dengan anak2 kecil mereka yang tertawa keriangan. Ya, mungkin nanti saya akan kongsikan. Bila-bila lagi saya kelapangan

Saya mungkin agak sibuk di beberapa minggu hadapan dengan segala tugasan. Mungkin saya akan menulis lagi bila bermulanya cuti Krismas nanti. Perayaan utuk mereka, pengembaraan untuk saya

Tinggal dulu. Terima kasih sudi membaca ;)

Salam sayang,

Tini Omar

3 comments:

Ajamahiyaa said...

saya nk request gambo hartini posing tepi tasek...
ataupon gambo hartini posing berbaju bulu tebal....hahahahhaa.....
please....... ;p

Ayuneii said...

Ye..
Saya pun request bukan sekadar gambar tasik atau pemandangan..
nak tengok kak hartini yg disana..

Hartini Omar said...

Aja, Ayu,

Haha request yang tu mmg tak dpt kot nak dipenuhi.. kih kih