Sudah seminggu berita di dada2 akhbar sibuk memperkatakan tentang kisah guru yang mendenda murid, yang kononnya dianggap kejam dan tidak berperi kemanusiaan. Tersentuh aku untuk menulis sesuatu dalam blog kesayangan ini. Meronta2 hati ingin berkongsi pendapat dan telahan untuk beberapa biji mata yang mahu membaca dan membuat penilaian. Namun dengan kesibukan kerja, ditambah lagi dengan bebanan peperiksaan yang bakal menyusul tiba, aku jadi canggung. Segalanya dirasakan serba tidak kena. Sesungguhnya aku amat berharap agar dapatlah aku sedikit masa senggang untuk menulis sesuatu berkenaan 'lilin' masyarakat ini. Dan alhamdulillah, di hari Jumaat ini aku bertemu tika dan saatnya.
Seorang guru itu , setahu aku kalau di zaman yang dulu2 hidupnya penuh megah. Di mana2 pun orang sibuk memanggilnya cikgu. Arwah datukku seorang guru. Guru agama yang orang gelar ustaz. Ada juga yang menggelarnya imam kerana seingatku, arwah datuk juga seorang imam. Aku sempat merasa kasih sayang datuk sehingga darjah dua. Pergi ke pasar bersamanya, memimpin tangannya ke muka pintu bank, dan aku bangga berjalan seiringan dengan datuk. Walaupun datuk ada ramai cucu (iaitu sepupu2 ku), datuk rapat dengan mama dan secara tidak lansung datuk menjadi rapat denganku. Aku masih ingat, datuk terkenal dengan ketegasannya. Namun begitu, datuk juga seorang yang pemurah dan baik hati, sehinggakan ramai benar yang tinggal menumpang di rumah datuk dan menjadi anak angkatnya. Kerana itu ramai benar makcik2 dan pakcik2 angkatku di seluruh pelusuk malaysia.
Aku juga berbangga menjadi cucu datuk kerana apabila tiba di kampung, mereka akan berkata "Oh, ini rupanya cucu imam Usop..." Aku hanya mampu tersenyum malu. Segan juga diperkatakan begitu. Sekadar mengambil hasil kemanisan yang datuk tinggalkan.. Manusia mati, namanya jadi kenangan..
Setelah datuk meninggal, mak usu ku mengikut jejak langkah datuk. Dalam ramai2 anak yang 12 orang semuanya, hanya mak usu yang berminat untuk menjadi pendidik. Mama pun tidak. Dan sekarang mak usu menjadi guru bahasa inggeris di sebuah sekolah menengah di kuala Lumpur. Tidak ramai yang suka menjadi pendidik, walaupun kerjaya itu amatlah untung duniawi dan ukhrawi. Ini kerana yang sekarang ini cuma mahu nama dan pangkat jua. Hmm... mungkin kadang2 aku pun begitu, menginginkan yang standard2 saja.. Ah tini, laku sendiri tak kau sedari!!
Aku ini bukanlah seorang bekas pelajar yang baik, sopan dan bersahsiah bagai sekarang ini. Aku pernah didenda rotan (di punggung) di hadapan semua pelajar semasa di tingkatan 3. Pernah didenda berlari satu padang 30 pusingan, didenda berdiri atas kerusi yang banyak tak terkira, ditengking, diherdik, dimarahi dan dimalukan.. semua itu sungguh sinonim denganku. Dan yang paling besar dan tidak akan luput dari ingatan ialah apabila aku digantung persekolahan untuk kesalahan yang di amat2 sukar untuk diceritakan...... Sekadar mengenang kisah lama. Kisah lama yang menjadi sejarah mula untuk aku menjadi aku. Itu lah aku yang dulu. Aku yang sebelum bertemu dengan indahnya cinta ilmu dan cinta guru..
Akan tetapi semua kenakalan itu berlaku dulu. Di saat yang sewajarnya aku dididik penuh kekerasan. Yang mana jika tidak dengan hukuman itu sudah pasti aku tidak menjadi aku yang sekarang. Lagipun, itu cerita dulu. Tatkala Tini di zaman remaja dan masih mencari identiti dirinya. Namun bekas pelajar yang nakal dan degil ini kini telah berdiri di sini. Berjaya ke menara gading dan berjaya juga membimbing. Nah, bukan jalan yang kita persoalkan melainkan destinasi tibanya satu perjalanan tersebut. Kebanyakan orang yang berjaya adalah orang yang pernah merasai perit getir kegagalan. Dari kegagalan orang belajar bangkit dan maju kehadapan.
Di zaman ini anak2 telah menjadi begitu manja dan mengada2. Disentuh sedikit, menangis. Dijentik sedikit, repot polis. Mengalahkan gelagat para artis. Para ibubapa muda pun intelektualnya entah di mana. Sebelum menyerang guru di sekolah, selidik dan perhati dulu lah perangai anak2 kita itu di rumah. Dihantar dengan kereta ke sekolah tidak bermakna mereka pergi ke sekolah. Dijemput dari sekolah bukan bermakna mereka tidak ponteng sekolah. Memang betul, ada juga segelintir guru yang menghukum murid tanapa alasan munasabah. Namun bilangan itu kecil sahaja. Cumanya, yang kotor dan busuk lekas benar terpalit pada semua..
Fikirlah masak2.. amat-amatilah tingkahlaku anak2. Jangan cepat melenting saja. Bagai tin kosong yang berbunyi tetapi tiada apa. Tiada guru yang merotan atas sebab suka2. Mak usu ku sering bercerita bahawa murid2 zaman ini bukan yang macam dulu lagi. Kalau dulu hanya nakal, namun sekarang sudah ke tahap kurang ajar dan perlu di ajar. Mereka tiada lagi sikap hormat, apatah lagi sayang pada guru. Memanggil duru dengan panggilan nama, mengherdik, menengking dan melawan guru itu sudah jadi perkara biasa. Mencalar kereta cikgu tu dah tak payah cerita lah... Jadi, jalan manakah yang perlu diambil untuk mendisiplinkan mereka? Hanya ketegasan caranya. Mungkin untuk permulaan, yang tegas dan garang itu sering jadi bahan kebencian. Namun yang benci itu bisa jadi bahan kenangan dan kerinduan.. lebih2 lagi di saat kejayaan dalam tangan.
Mendidik itu perlukan pengorbanan. Perlukan keikhlasan. Perlukan kelembutan dan dalam pada masa yang sama bersulamkan ketegasan. Sebab itu pada pendapatku, semua orang boleh mengajar, tetapi tidak semua boleh mendidik. Apatah lagi untuk menjadi pendidik yang baik. Mendidik itu bagai menyanyi dan melukis jua. Perlukan bakat dan anugerah. Semua orang boleh melukis, tapi tidak ramai yang lukisannya cantik dan indah. Begitu juga mendidik - tidak ramai yang anak didiknya boleh menjadi orang tersohor ternama.
Amnya, sebelum menyentuh bab guru, sentuhlah dulu bab bagaimana pada dasarnya prospek perguruan itu kita hasilkan. Lihatlah hari ini, yang jadi guru itu sesetengahnya pelajar lepasan U yang tidak memperoleh kerjaya. Memanglah dari segi intelektual mereka bijak dan berhak, tapi adakah disebabkan mereka memegang title 'graduan' membuatkan semua pelajar lepasan U layak?? Tidak mungkin sama sekali. Kerana itu di negara kita ramai orang yang pandai dan terpelajar, tetapi hati dan sifat terpuji mereka kosong dan sifar!
Mendidik adalah pengorbanan yang besar. Negara kita telah maju jauh ke hadapan, tetapi dalam aspek nilai2 murni, kita amat2 jauh ketinggalan. Sayang lah bangsa kita, bijak di akal sahaja tetapi tiada pedoman dan pengangan agama. Baik si anak, baik si ibu, baik si ayah - semuanya sama sahaja. Kesalahan sendiri buta, kesalahan orang lain terbayang2 di ruang mata. Itu lah manusia, kuman di seberang nampak jelasnya, gajah di depan mata tak tersedar bagaimana rupa. Nasib lah guru kita..
..................................................................
P/s: Teringat aku Pn. Kuna Sandharan yang menjadi guru didiplin di sekolah rendah. Bencinya padaku bukan main.. =P
-Teringat juga pada cikgu Sarina yang mendenda aku berlari sekeliling padang kerana bising dalam bilik darjah..
-Teringat Ustaz Halim yang berwajah garang, dengan senang hati memanggilku naik ke astaka dan merotanku di punggung. Memalukan tetapi sangat2 memberi pengajaran..
-Teringat juga akan peristiwa dicampak buku ke muka oleh Puan Chay bila aku gagal menyiapkan tugasan matematiknya
-Teringat akan kata2 Pn. Kuna "ini tak guna punya budak" tatkala dihantar ke bilik kaunseling
-Teringat tatkala aku menangis di hadapan guru besar di sekolah rendah agama kerana menjawab soalan mengapa aku menendang Yatim sehingga jatuh dan mendapat luka di kepala
-Teringat akan Ustazah Wahidah yang bertegang urat denganku kerana mempertahankan hak 'aku lah yang benar'
-Teringat saat namaku dipanggil dan diberi surat gantung sekolah
-Teringat akan mata2 guru dan teman2 lain yang memandangku hina.. "Otai sekolah! Otai sekolah!"
:-) nakal benar rupanya aku ya? Masa benar merubah segalanya.....
No comments:
Post a Comment