Friday, June 20, 2008

Nikmat keinsafan


Dingin subuh itu, menggigilkan tubuhku. Aku diam di birai katil, sejadah ditangan kulipat perlahan. Masih hidup seorang insan. Masih diberikan kesempatan untuk meneruskan kehidupan walaupun penuh kesukaran dan kepayahan..

Kuperbetulkan sila. Dalam getar suara yang kedinginan bercampur bayu subuh yang dingin kelembapan, kubacakan lembut kalam2 Tuhan. Hati terasa berdesir. Mengenangkan dosa2 lalu yang banyak memasir

Kalam itu kulagukan jua, walaupun tidak seindah mana. Kerana aku tahu, Tuhan di sana lebih memandang keihlasan dari keindahan bacaan yang melagu-lagukan. Bila bibir bersatu, bertemu dalam kalimaNya, hati jadi sayu tiba2. Dan air mata tumpah entah kenapa. Terlalu sebak di dada

Sering aku lupa mensyukuri nikmatNya, melupaiNya dalam setiap hirupan nafas yang dikurnia. MelupaiNya dalam setiap kerlipan mata. Aku lupa, kerana terlalu hampir dengan dunia. Adakalanya aku berkeluh kesah akan hal2 dunia, tanpa memikir bahawa semua itu adalah dugaan untuk ke syurga

Ampunkan aku, Tuhan. Tangis mengalir perlahan. Kuseka dengan hujung telekung yang putih suci. Dan semoga hatiku bakal suci kembali. Biar harum mekar mewangi dan diredhai

Dalam bacaan itu, ligat minda memikir bagaimana tabahnya Rasulullah. Sudahlah dijanjikan syurga, masih kekal bersujud dan mengabdi jiwa raga. Sedang aku, masih berjurang dari segala yang menjurus kepada taqwa. Semoga dijauhkan aku dari segala noda dan dosa

Al-Kitab kukucup perlahan. Menjunjung ia dengan penuh harapan. Nikmatnya sebuah keinsafan, sesegar bayu yang mendamaikan. Semoga selalulah aku diperingatkan. Sebelum nyawa bercerai badan….

5 comments:

Khairulnizam Bakeri said...

Terima kasih singgah di KNB.
Blog ini dah dipaut. Hehe.

Hartini Omar said...

terima kasih kembali tuan KNB

RinG said...

keinsafan adalah satu rahmat dari-Nya. semoga semua diberi keinsafan. amin

Ahmad WM Omar said...

Semoga aku juga selalu seperti itu.

Hartini Omar said...

tuan ring,
amin ya rabbal alamin

tuan ahmad,
mudah-mudahan hendaknya