Tuesday, June 03, 2008

Gerbang kehidupan

Pengantin berkebaya labuci biru itu menggenggam tanganku, serasa bagai tak mahu dilepaskan. Matanya berkaca2, menahan tangis dan keharuan. Aku juga terharu memandang wajahnya dengan seribu satu perasaan yang sukar digambarkan. Dalam senyum dia menitikkan air mata, mengenangkan dirinya yang kini telah berpunya. Aku tenang melayan sebak di dada. Tangannya kugenggam erat, menyalurkan denyut2 semangat

Lebih 8 tahun tidak bertemu mata, dan kini sahabatku itu sudahpun menjadi suri buat seorang lelaki. Tiada kata yang dapat dizahirkan di saat mataku memandang seorang sahabat yang tidak kutemui hampir sedekad. Seorang sahabat yang bukan sahaja berkongsi suka duka, bahkan berkongsi jiwa dan rasa. Sahabat sehati sejiwa

Gembira? Hanya itu yang terkeluar dari mulutku. Dalam senyum dia mengangguk. Aku senyum merenung matanya. Kalau dia rasa gembira, aku turut gembira untuknya. Kini aku hanya berdoa, semoga hidupnya dimudahkan Allah taala, keluarga barunya diberikan hidayah dan kegembiraan, kemurahan rezeki yang berpanjangan. Semoga aman damailah hidupnya bersama sang suami ke alam abadi

Majlis perkahwinan sahabat itu kutinggalkan dengan hati yang penuh keharuan. Tangannya kujabat erat, dan pelukan terakhir itu bagai menghiris2 pundak hatiku. Manisnya erti persahabatan, bagi tidak mampu untuk dilepaskan. Kini dia telah menjadi seorang isteri, lalu tentu saja perjalanan hidupnya selepas ini lebih tertumpu buat keluarga dan suami.

Aku sedih dalam pasrah. Namun jauh disudut hatiku, datang juga rasa gembira. Gembira kerana wanita itu telah berjaya menempuh satu dari gerbang2 kehidupan yang ditentukan tuhan dalam hidupnya. Satu gerbang yang akan ketempuh jua di suatu masa dan ketika… Semoga Allah memperkenankannya…

Buat sahabat tersayang, selamat pengantin baru kuucapkan, semoga kebahagiaanmu berkekalan….


31 Mei 2008
Kg. Sahom, Jeram Perak D.R.

No comments: