Thursday, October 16, 2008

Cicik Nana

Selalunya sukar benar untuk aku membariskan kata. Kerana menulis dan mengarang itu memerlukan daya dan kesungguhan. Menulis itu memerlukan hati dan perasaan. Mengarang itu memerlukan sesuatu yang merangsang. Lalu di petang yang sunyi lagi menyepi itu, aku terkenang2 kembali kisah kecilku. Yang memberi bukan sedikit kengiluan dalam hati. Dan cocoklah jika ia kucoretkan di sini

Aku tidak tahu kenapa, bila menyebut atau membayangkan saja cicik nana, tangis ini bergenang di kelopak mata lantas menyebakkan dada. Mungkin kerana betapa hikmahnya tugas seorang bonda yang mengasuh dan menjaga. Yg membantu mama membesarkan aku sedari telapak kaki sebesar jari. Di saat aku hanya tahu menangis bila perutku minta diisi. Yang bukan juga senang hidupnya, dan bukan juga mudah beliau menghadapinya

Cicik nana itu ibu saudara sebelah mama. Atau kata lain kakak ipar mama. Beliau orang Singapura yang dari dulu lagi telah berhijrah ke Malaysia. Cicik nana atau aku panggil cicik itu telah menjaga aku sedari kecil. Tatkala mama papa sibuk bekerja, beliaulah yg menggantikan tempat mama. Bukanlah jagaannya itu penuh belai kasih dan rayu manja. TIDAK. Segalanya penuh marah dan jerkah2 saja. Dan pernah juga di waktu2 dulu aku seakan membencinya. Membenci tindak tanduknya

Setelah aku dewasa, setelah memahami erti sebenar kasih sayang, aku mula merindui setiap kata2 dan perbuatannya. Wajah garangnya memberi syahdu. Marahnya kuidam dalam kalbu. Kerana setelah pula kufahami makna sebenar sayang dan kasih, aku maklum bahawa memanja2 dan membelai2 itu hanya berlaku dalam Anakku Sazali. Lalu lihatlah pula di masa depannya, apa yg terjadi! Dan setelah kuamati sedalamnya, beliau juga turut garang terhadap anak2nya, dan bukanlah aku saja =P

Belajar tentang manusia membuatkan aku lebih menghargai manusia. Menghargai mereka seadanya. Kerana sekarang ini kutahu pula bahawa marahnya cicik nana itu dulu adalah kerana sayang dan kasihnya beliau kepadaku. Supaya aku benar menjadi aku. Dan marahnya, jeritnya, cubitnya, pukulnya hanyalah ketika aku mahu menginjak usia, dan bukanlah marah dan benci yg membawa hingga dewasa. Dan kerna marah2nya itulah yg telah membantuku kini menjadi insan berjaya (kalaupun tidak sempurna)

Semoga adalah harinya di mana aku dapat menghulurkan bukan sekadar kasih sayang buat cicik nana. Sebagai tanda penghargaan yang terlalu dalam buatnya. Semoga tahulah dia bahawa aku ini benar2 menyayanginya sepenuh jiwa. Menghargai dan berterima kasih atas pengorbanan dan peranannya. Dan aku senantiasa meminta, agar berbahagialah hidupnya, tidak kira di dunia, ataupun di syurga sana. Ditemani riang2 ceria yang tak tergambar di ruang mata....

Semoga diperkenankan doa..

2 comments:

tengkujuh said...

Ya ALLAH....
tiada ape dapat ku ungkapkan dengan kata-kata.
sesungguhnya besar sungguh penghargaan kau padanya...
m(_'_)m

hans said...

sedih plak baca entry kali nih
tingat seseorang