Buku putih itu nipis saja. Hanya sekitar 100 halaman. Aku habis membacanya tidak sampai dua jam. Aku senyum. Gembira kerana kini aku mula mahu membaca. Sedangkan membaca dulu adalah perkara yang paling aku suka. Aku membaca tak kira masa. Biar di terik mentari atau di terang purnama. Namun kesukaan itu lekas pula terhakis. Entahkan oleh kelelahan atau oleh faktor kemalasan saja. Aku sendiri kurang periksa
Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri itu ceritaya sangat ringkas. Namun padat dengan nilai cinta dan kekeluargaan. Memang seronok menyulami dua kisah yang dengan sendirinya menjadi bagai ukuran perbandingan. Yang susah dengan yang senang. Yang kasih dengan yang sayang. Yang baru dengan yang lama. Yang suka dengan yang duka. Ah, sasterawan memang pandai bersastera. Kerana itu membaca buku2 mereka lagaknya seperti berterbangan mencari makna. Indah!
Kadang2 cinta hanya akan menampakkan wajahnya bila kesukaran menjelma. Waktu senang girang, semua orang boleh mengaku sayang. Ketulusan dan keluhuran cinta itu sukar dijelmakan dalam suasanan aman. Namun bila berlaku kekocakan, meski dalam institusi kekeluargaan ataupun sesebuah hubungan, barulah ikhlas dan tulus itu dapat disaksikan. Bukan mudah meniti titian usang bersama2. Sedang manusia sering saja mahu berlari memanjat jambatan gembira
Berbalik kepada kisah Fatehpur Sikri itu, sebagai lelaki, Rehman tentu saja berasa malu terhadap Neeta kerana tak berupaya memberikannya bahagia. Bahagia yang sebetulnya perlu menyusur setelah manusia mngungkapkan cinta. Namun itu jugalah kebesaran cinta. Jika tidak betul cinta, maka tidak pulalah Neeta masih berada di sisi Rehman dalam keadaan yang serba kedhaifan. Nah, itu kan pelajaran. Cinta menjadi jambatan hubungan
Sejenak terkenangkan pesanan aku kepada para pelajar. Tatkala kami membahaskan apakah yang lebih utama, adakah cinta atau harta. Dan kataku, nanti di tahun2 akan datang, bila uban menjadi perhiasan, bila kedutan di wajah menghias pandangan, hanya cinta saja yang mampu menghangatkan hubungan. Nanti bila tiada gedung yang mampu di susun, bila tiada wang ringgit yang mampu dihimpun, hanya cintalah yang tinggal sebagai pusaka. Bila tanah menimbus tubuh, lalu tinggallah anak adam bertemankan kegelapan, hanya yang namanya cinta menjadi nyalaan. Maka itulah gunanya cinta
Kerana itu aku katakan di awalnya, cinta menyembunyikan diri dalam hilai tawa. Ia cuma muncul dengan derai airmata. Perkahwinan memerlukan kegairahan bercinta. Banyak juga rumahtangga yang survive dan hidup meskipun tanpa passion dan cinta. Ya, tetapi hidup dan survive yang bagaimana? Sekadar menjalani kelangsungan hidup? Sekadar meneruskan apa yang perlu? Tidak.. Bukankah segenap kehidupan ini adalah untuk dinikmati. Menjadi nadi untuk mengumpul bekal di negeri abadi
Sayang manusia jarang nampak kepentingannya. Kepentingan ‘gairah’ dalam rumahtangga. Namun gairah yang fizikal, pandai pulak manusia menghargainya.. Pelik!
Orang bernikah, kita bernikah. Namun di sebalik ikatan nikah itu sendiri, ramai yang lansung tidak mengerti. Orang berkahwin, kita berkahwin. Namun sulaman yang terjalin, jarang sekali diperhalusi. Kerana itu passion jarang hadir dalam hidup berumahtangga untuk sebilangan manusia. Senda gurau jarang diangkat menjadi sumbu yang menyalakan cinta. Nasihat dan teguran selalu saja digantikan dengan jerit pekik dan kemarahan. Macamlah keberangan itu dapat memberikan sejuta belaian
Ah, lantak mereka lah. Sekurang2nya mereka berumahtangga sedang kau sendiri?
…………………
Berbalik kepada tanah kejayaan Fatehpur Sikri, Mansor dan Zawiah sendiri, mereka masih terlalu muda dalam perjalanan cinta. Episod rumahtangga itu baru bermula. Halaman asmara itu baru saja dibuka. Kehangatannya masih terasa. Kalau dalam pembacaan, kisah cinta mereka masih lagi di bab2 yang pertama. Belum lagi masuk ke episod2 yang merencahkan suka duka
Hidup kalau selamanya dalam bulan madu memanglah indah. Ke sini ke sana berdua. Bebas bergelak ketawa dan bermesra tanpa ada siapa pun berkata apa. Namun hakikat hidup di dunia ini bukanlah manis seperti madu. Kerana manusia tidak berseorangan mendepani alam. Ada banyak hati dan mata yang perlu dijaga, lalu sebenarnya mengorbankan hati dan jiwaraga si penjaga
Cinta. Ramai dan boleh dikatakan semua mampu lakukan. Tapi pengorbanan, kalau adapun mungkin hanya insan2 yang dipilih tuhan…
-Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri karya SN A. Samad Said
3 comments:
Inilah gaya penulisan Hartini yang sebenar! Teruskan saudari.
when i read this, i'm glad that you say that you are continuing reading. Proud of you...^_^ keep it up.
Ahmad,
Terima kasih. Ya, kadang2 saya masih mampu menjadi saya
K.Laily,
Yup, i did! Dan berharap agar ia sntiasa berterusan, ameen
Terima kasih kalian
Post a Comment