Angin bertiup perlahan. Sesekali mendengar
desiran lalang yang bergerak kiri dan kanan mengikut arah angin itu memberikan
kengiluan pada perasaan. Bagai luka yang disiat kembali. Dijahit semula dengan
penuh tekun, diubati dengan hati2, namun dilukai lagi dan lagi dan lagi.
Sehingga dirasakan yang membengkak dan bernanah itu telah pula menjadi sebati
dan sebahagian dari perasaan ini, tidak mampu dipisah2kan lagi
Pandangan kiri dan kanan terasa gelap. Alam
yang terbentang luas ini terasa sempit dan perit. Bagaimanalah seorang manusia
mampu diberikan dugaan sebegini hebat, sehingga serasa bagai tiada jalan keluar
untuk masalah yang datang menimpa. Apakah aku tidak cukup berfikir dan tidak
cukup berusaha?
Apakah Tuhan mampu membantu? Kenapa tidak?
Dialah Tuhan yang Maha hebat dan Maha perkasa
"Lalu kenapa tidak dibantu saja?"
Dan
kedengaran lah suara akal bahawa bantuan Tuhan tidak datang dengan jalan
senang. Tuhan tidak membantu dengan manusia berlepas tangan. Perlu ada usaha.
Perlu ada pengorbanan. Perlu ada tangisan. Dan untuk langkah yang tidak lagi
mahu ditoleh2 ini, tangisan dan kelukaannya juga tidak mungkin kecil. Ya,
besar2 belaka. Persoalannya, sudahkah aku bersedia?
Andai lah mampu diukir satu2, dipahatkan di
minda manusia, betapa besarnya keinginan diri untuk menjadi apa yang diingini
hati dan naluri, pastilah mudah tugas ini. Namun sering saja hati berkata, ini
bukan soal ingin atau mahu. Ini soal perlu. Soal keperluan menjadi apa yang
diciptakan. Dua puluh lapan tahun, hidup dalam corak dan kanvas yang dicanting
orang lain, entah bila masa itu akan sampai. Masa untuk bernafas sebagai diri
sendiri
Manusia mempersoalkan, bahawa mungkin
sekali apa yang aku cita-citakan itu adalah semata keinginan naluri yang
keanak-anakan. Pemikiran yang masih kurang matang. Pertimbangan yang masih
kurang wajar. Wahai, apakah perlu aku mati dahulu untuk dikatakan aku matang
dalam melakukan penilaian? Telah suku abad hidup ini dipersia-siakan. Berendam
dalam tangisan tatkala aku hanya mampu melihat manusia lain melakukan apa saja
yang dikehendaki mereka tanpa sedikit pun rasa salah dan dosa. Sedang aku? Aku
berkira2, berprasangka dan berserba salah hatta tatkala menyarung pakaian dan
menyapu bedak di wajah. Apakah masih belum matang pertimbangan akal dan jiwa?
Sekali lagi jika dipandang kiri kanan, dan
sesekali aku dongakkan kepala di langit, masih tiada jawapan terhadap persoalan
maha hebat ini. Malah makin lama makin banyak persoalannya lagi dan lagi dan
lagi
Aku perlu berusaha untuk mengubah bentuk2
derita ini menjadi bahagia. Namun sesekali ditakut2kan oleh minda, jika usai
adanya yang dicita-citakan itu, apakah pasti akan ada bahagia? Atau sekadar
menambah lagi luka? Apakah akan hadir bahagia setelah pengorbanan itu aku
pertaruhkan? Apakah aku akan berbahagia dengan tangisan gembira ataupun
kekesalan? Apakah akan ada kesal bila apa yang kita lakukan hanyalah untuk
menjadi diri sendiri. Ya, sekadar untuk menjadi diri sendiri. Diri aku sendiri
Allah….. Kalau lah mampu kuketuk pintuMu, dan menyapaMu, akan kutanya soalan maha rumit ini. Ya, apakah ada
bahagia untuk sekeping hati ini, wahai Tuhanku yang selalu mengerti?
Atau apakah memang Kamu sengaja membiarkan
aku sakit dan lemah dan kalah dan pasrah di dunia yang serba fana ini, untuk
aku mensyukuri dan menumpukan segenap perhatian kepada alam yang tiada akhir2
lagi nanti? Membiarkan aku berjalan sendiri tanpa teman di sisi. Membiarkan aku
hidup dengan pakaian manusia lain agar aku lebih faham tentang penciptaanMu yang
maha besar seninya. Membiarkan aku mengumpul setiap titis air mata, agar dengan
air mata itu dapat kubasuh segenap dosa yang bercambah?
Sesungguhnya amat kerdil dan jahillah
seorang manusia bernama aku ini wahai Tuhan. Baru sekelumit Kau berikan ujian,
sudah sesat aku dalam mencari penyelesaian. Tolonglah wahai Allah, berilah
petunjuk. Agar jalan yang aku lalui, walau seperit mana pun ia, hanyalah jalan
yang menuju kepada redha dan kasih sayangmu. Biar sesakit manapun akan aku
tempuh
Ah sahabat.. Andailah dapat aku tuturkan
dengan lebih jelas, agar kalian lekas faham. Kalaulah aku mampu. Percayalah,
meskipun aku mahu, amat berat mulut ini menceritakan. Seberat akal kalian yang
terpaksa menghadamnya jika ketahuan. Pertimbangan antara salah dan benar yang
berpanjangan, kira2 antara akal dan rasa, yakin dan percaya, sangsi dan curiga
yang takkan pernah sudah. Sehingga jasad bercerai nyawa, yang mampu menjawabnya
Cuma Tuhan yang Esa.
Ya, yang mampu menjawabnya hanyalah Tuhan
yang Maha Esa, Maha Besar, Maha Kuasa. Hanya Dia
3 comments:
Allah dengan KuasaNya, tidak terjangkau pemikiran kita.
As-salam...Sebenarnya kita tidak pernah sendiri dlm hidup ini. Jgn pernah merasa kesepian atau sendirian kerana Dia Maha Dekat, Maha Mendengar, Maha Memperhatikan dan Maha Mengabulkan doa2. WAllahua'lam.
Rapunzel
Ya, saya maklum sekali hakikat itu
Tuan anon
Sungguh, saya selalu merasa didengarkan dan diperhatikan
Syukran jazilan, kalian
Post a Comment