Monday, October 01, 2012

Bolehkah kamu tadahkan tangan?

Sudah berapa bulan? Entahlah. Saya kurang periksa. Mungkin sudah beberapa tahun agaknya. Biarlah isterimu saja yang menghitung. Dengan hitungan masa yang mendekatkan hati dan jiwa. Jiwamu dan jiwanya. Saya sekadar datang sekali sekala. Menjengukmu di kala hilang punca. Menjadikan kisahmu dan isteri sebagai penawar duka dan panduan bahawa hakikat cinta agung itu memang wujud untuk orang2 yang dipilihNya. Betapalah haru rasa ini wahai, Ahmad. Entah apa hikmahnya mengenali kalian tanpa mampu mata merenungkan, mulut mengucapkan. Sekadar bersapa-sapaan dengan papan kekunci. Nampak benar yang kita semua ini sebenarnya buta, bisu dan tuli

Kalau yang berjabat tangan dan berpeluk erat itu dikatakan ukhwah, maka tiada satupun yang boleh kita buktikan bahawa kita ini bersaudara. Namun hubungan kerana Tuhan ini ternyata jauh seninya. Terlalu jauh untuk sekadar ditafsir dengan pandangan mata dan akal yang singkat. Apa pun buah dan rahmatnya, biarlah Tuhan saja yang meletakkan darjat kebesaran kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tapi saya sering berharap, agar termasuk lah kita dalam golongan manusia yang bersahabat kerana Dia. Diberikan naungan di padang akhirat yang tidak ada apa2 perlindungan lagi. Naungan persahabatan yang erat, yang dengan persahabatan ini mengeratkan persahabatan yang lain2 pula. Mudah-mudahan hendaknya

Ahmad,

Bagaimanakah keadaanmu di sana? Pasti sedang bersenang lenang. Damai menanti kehadiran hari2 mendatang. Untuk segera dekat dengan kekasihmu yang memang dikhaskan. Betapa untungnya kamu wahai Ahmad, punya suri seperti Nur itu. Selalu saya sebut2kan namanya dalam kelas2 saya. Tatkala mahu saya memberikan contoh2 baik buat pelajar2 saya. Kadang2 saya simpulkan kisah kalian berdua

Setia itu bukan mudah, saya faham. Lebih2 lagi apabila kita hidup dalam dunia yang memungkinkan segalanya. Kehendak masyarakat, keperluan harian, kepentingan anak2, dan runtunan hidup yang memerlukan kita untuk berpaling pada yang lain. Namun keyakinan dan tekad yang ditunjukkan isterimu itu, Allahu… Jujur saya terharu. Ada rupanya manusia sebegitu setia. Benar2 wujud, dan ianya bukan dalam watak sebuah novel cinta

Dia itu masih muda. Muda benar. Sangat lojik dan difahami seandainya dia memilih untuk mencari ganti. Namun pilihan hatinya tetap kamu. Titik air mata saya, Ahmad. Walaupun saya tahu benar, segala2nya ditentukan oleh Allah jua. Namun tekad dan keyakinannya sangat kukuh dan ampuh. Kekal mempercayai bahawa berkahwin dan bercinta itu hanya sekali. Dan cukuplah sekadar SATU KALI. Tidak perlu diulang2 kembali.

Hmmmm… Perempuan selalunya begitulah.Namun tak semua, saya pasti tidak semua

Bolehkah kamu tadahkan tangan, Ahmad? Bolehkah?

Bolehkah di alam sana itu kamu tadahkan tangan dan berdoa? Kerana kalau boleh, ingin sekali saya memohon agar didoakan saya. Kerana kamu sudah tentu lebih dekat dengan Dia di sana. Sedang saya masih dikaburi fatamorgana yang menyilau mata. Tolong doakan saya tabah. Tolong doakan saya cekal. Tenang dan sabar melalui hari2 mendatang. Doakan saya bertemu kebaikan. Bertemu kesejahteraan. Akan ada hari2 keperitan di hujung tahun ini. Dan jikalah saya mampu meminta, ingin saja saya meminta agar dijemput kembali sebelum kedatangan hari tersebut. Serasa tidak sanggup saya menempuhnya. Namun apalah daya saya. Apalah daya hamba sekerdil saya

Kalau mampu saya kumpulkan setiap cebisan doa untuk dijadikan kubu kekebalan, kubu pertahanan, pastilah sudah saya kumpulkan. Agar diri ini terus kebal dari berasa sedih dan sakit. Namun semua itu bukan cara Tuhan. Tuhan memberikan pengajaran melalui kesakitan. Memberikan pengajaran melalui kekurangan. Memberikan pengajaran melalui kehilangan. Dan kesakitan, kekurangan dan kehilangan itulah yang seterusnya membuatkan kita faham maksud kehambaan. Kita cuma hamba yang mengharap belas ihsan. Sedang Dialah Tuhan yang maha hebat dan layak menunjukkan jalan

Sering saya ingat kata2 isterimu dalam lamannya. Hidup itu singkat, mati itu dekat. Ya, selalu saya ingat dan lekatkan di dalam minda saya. Biarlah berpeluh dan mengadoi sakit di ladang dunia yang serba fana ini, agar dapat saya kutip bebuah pahala di negeri sana. Bertemu dan menjabat tanganmu, tersenyum dan bergelak tawa megenangkan rencana Tuhan yang mendekatkan kita. Kamu bersama isterimu dan saya bersama teman jiwa yang saya harap dialah orangnya. Itulah yang sering saya sebutkan dalam doa2 saya. Bukan setakat saya impikan, malahan saya yakin. Yakin dan pasti bahawa kita semua akan bertemu satu hari nanti

Saya masih belum berkesempatan bertemu isteri dan anak2mu. Sekadar meninggalkan pesanan ringkas bertanya khabar. Entahkan kami selesa atau tidak bila bertemu mata. Atau mungkin sehingga dicabut nyawa saya juga, masih tidak sempat kami bersapa. Entahlah. Saya tidak tahu. Biarlah masa menentukannya

Sehinga di sini saja untuk kali ini. Tinggal dulu. Tidak perlu saya menyuruh kamu agar menjaga diri kerana dirimu telah berjaga. Insyallah, ada pahala dan doa2 yang menghiasi hari2mu. Sedang saya di sini lah yang lebih perlu menjaga diri. Agar tidak jauh dari Tuhan dan rahmatNya. Agar tidak saya terjatuh dalam lembah orang2 yang lalai dan derhaka. Terima kasih Ahmad, Terima kasih Mawar. Terima kasih atas cinta dan kesetiaan yang kalian tunjukkan. Menjadi penyejuk dan menambah keyakinan hati saya kepada Tuhan dan segala apa yang Dia tentukan

*****

Semasa saya menaip entri ini, program manager saya menyapa dan memberikan buah tangan berupa rantai kunci yang terdapat syling 1 penny dari USA.  Dan pada syiling yang terdapat gambar sisi Abraham Lincoln itu, ada kata2 yang benar belaka;

"IN GOD WE TRUST "

Subhanallah. Sajak dan sangat kena dengan tema penulisan saya. Tersenyum saya. Tersenyum pada Allah dan mengharapkan Dia tersenyum kembali memerhatikan saya dari atas sana. Ya, saya yakin sekali Dia sedang memerhatikan saya. Memerhatikan kita semua

Saya mahu percaya dan saya memilih untuk percaya padaNya

5 comments:

Ajamahiyaa said...

fuyooOooo..dpt keychain;p

Hartini Omar said...

Dapat key chain US. Haaaa jgn main2.. coklat pun dpt tau

Anonymous said...

As-salam...Semoga segala doa dan harapan sdri diperkenankan Ilahi...amin. Wassalam.

Bila Diary Bercerita said...

Lama akak tak baca entri Tini. Terharu akak baca tulisan ini. Semoga Tini sentiasa ceria. Akak ni ntah bila la agaknya nak update blog. Huhu... :( mood rajin belum menyapa dan kadangkala tu masa jadi penghalang...

Hartini Omar said...

Tuan anon,
Terima kasih. Ameen ya robbal alameen

Kak Aishah,
Ada masa update la kak . Jgn biar bersawang . Utk akak juga sy doakan kesejahteraan :-)