Panjang menungku memikir apa natijah yang bakal kuhadapi jika tulisanku berbaur hal2 yang sensitif sebegini. Kepingin benar kumenulis tentang satu daripada makhluk kejadian Tuhan yang maha agung ini. Makhluk yang ber’gen’ XY ini. Ya, lelaki. Jangan pula kalian bimbang. Kubukan extrimist yang begitu jumud memandang perihal dunia sehingga segala-galanya kutolak bulat-bulat. Pemerhatianku cuma seperti insan biasa yang dikurniai pemikiran untuk mentafsirkan yang hakikat. Hakikat yang perlu diterima, ditelan walaupun kelat. Kalaulah pun tafsiranku itu dapat diterima dek telinga yang mendengar, mata yang melihat.
Telefon bimbit yang kuletakkan di sudut meja itu berdering. Irama cindai dendangan Siti Nurhaliza berbunyi nyaring tetapi tidak lama. “Ah, miscall..” laju tanganku mencapai telefon untuk melihat siapakah gerangan nama di skreen.
One Miscall
Z******
Hmmmmpph.. dengusan ku panjang. Lelaki itu lagi. Kenapa hadir tatkala segala memori telah tamat kupadamkan dari kenangan. Apa perlu menggangguku lagi andai telah tiada keikhlasan dalam hubungan persahabatan. Ah lelaki… mengapa begitu mudah melafazkan kata?? Sehingga termakan pujuk rayu sang teman yang pergi menghilang diri setelah hati dibuai perasaan. Atau akukah perempuan yang begitu pantas menilai kebaikan dihulur sang arjuna? Ah Tini, terlalu singkat akalmu sehingga yang bertamu kata itu kau anggap cinta, yang mengambil tahu itu kau anggap rindu dan yang selalu terbayang itu kau anggap sayang. Salahkah?? Mungkin tidak bagi perempuan sepertiku.
Perempuan tidak akan mengambil tahu melainkan dia rindu, tidak akan menyisih andai benar dia kasih, dan tidak akan berkata ‘ya’ melainkan dengan cinta. Itu perempuan. Kaum Hawa, bangsa Hartini dan spesies Haryati yang tak tahu menipu, tak pandai mempermain pujuk rayu. Kerana kalau diam itu, tandanya dia setuju. Dan kalau beralasan itu maknanya dia tak mahu. Perempuan bukan seperti lelaki yang tetap melayan walaupun bosan. Tetap menghubungi walaupun tak sudi dan terus menyusun kata walaupun tak cinta. Hingga terasyik kaumku yang memang butuhkah kasih sayang dan perhatian. Nah, kalau begitu ia salah siapa? Salah Hawa yang datang menggoda atau salah Adam yang tak boleh hidup tanpa Hawa, waima di syurga??? Persoalan lagi.. Persoalan yang boleh dijawab dengan mata hati atau kata nafsu yang melulu.
Lelaki dan wanita dicipta tuhan untuk bergabung mengharmonikan dunia. Tiada wanita tanpa lelaki dan begitulah sebaliknya. Ibarat pantai dengan lautan, putih dengan hitam dan siang dengan malam. Semuanya diciptakan indah dengan pasangan. Jangan pula ego meninggi diri bagai dunia ini hanya milik kita. Seolah-olah kita dapat hidup dalam gembira dengan tangan yang sebelah, dengan wajah yang setengah. Heh, kagum kulihat orang yang mengaku dapat hidup tanpa arjuna. Dan kagum juga aku dengan lelaki yang konon dapat hidup tanpa wanita. Ah, nabi sendiri rindukan Khadijah, apatah lagi kita. Bukan semua manusia dicipta Allah menjadi Rabiatul Adawiah yang hanya dambakan kasih azza wajalla. Dan bukan juga semua dicipta menjadi sahabat rasul yang kekal hidupnya tanpa isteri dan cahaya mata.
Tapi bukan semua!! Itu benar. Benar sama sekali. Cuma lelaki… jangan lah begitu pada wanita. Kutahu yang buruk itu cuma segelintir saja. Tapi masakan boleh ditelan susu yang bercampur walau setitik tuba? Memang yang jahat itu sedikit, tapi yang sedikit itulah yang menghancurkan. Aku tidak membenci lelaki. Masakan aku.. ayahku seorang lelaki, malah lelaki budiman. Adik2 ku lelaki. Saudara-maraku juga sebahagiannya lelaki. Cuma mereka lelaki yang agung dan unggul. Lelaki yang tidak menghancurkan malah membahagiakan. Jadi aku tidak 100% menunding jari ke arah lelaki. Cuma kesal, kalau lelaki menggunakan akal pada tempatnya dan menggunakan nafsu pada masa dan ketika yang diredhai Allah, takkan wujud generasi kecil yang berbapakan ‘Abdullah’ semata.
Ada. Aku tahu ada. Aku maklum ada lelaki yang tidak begitu. Yang budinya luhur, yang niatnya satu dan tingkahnya tidak melulu. Aku kenal K**** yang indah perwatakannya, sesuai dan sempurna di mata di jiwa. Sehingga kuibaratkan dia seperti bintang tinggi yang tak tercapai dek tangan, tak terpeluk dek badan. Aku juga sempat dikenalkan dengan J**** yang tulus menyintai wanita yang dicintainya. Jejaka yang tidak pernah berputus asa dan cekal azamnya. Cuma lelaki itu terlalu jauh untuk diseru. Dan mungkin hanya dengan kudrat Tuhan dua cinta suci itu akan bersatu. Aku tetap mendoakannya. Moga ada lah suatu hari terletaknya kebahagiaan dua manusia yang ikhlas bercinta, yang sarat menanggung ujian Allah dengan duka dan air mata, bertemu berpisah kerana yang esa jua. Semoga datanglah masanya. Semoga diperkenan segala doa. Semoga……..
Tapi aku tetap sendiri. Tanpa makhluk bernama lelaki untuk didampingi (senyum). Mungkin bukan kini. Mungkin ada masa nanti di suatu hari. Kerana aku ibarat pohon yang tumbuh subur nun jauh di gunung tinggi. Jadi, tentu saja bukan calang2 pendekar yang mampu mendaki memetik aku menjadi suri. Tunggulah.. Pastikan tiba suatu hari dinanti. Pastikan datang sang putera yang bakal memanggilku puteri.. Ah, lelaki…..
Anak nelayan naik perahu
Sedang berdayung hujan gerimis
Hancur hati orang tak tahu
Mulut tertawa hati menangis
Kain batik dari seberang
Dipakai anak tanah melayu
Apa ertinya kasih dan sayang
Jikalau engkau berjanji palsu
Gugurnya bunga dalam jambangan
Layu ditimpa si matahari
Beribu sumpah dikau ucapkan
Mengapa kini dikau ingkari
Patah dahan daun berganti
Bunga pun kembang tiap tangkainya
Tak guna lagi daku sesali
Sudah lah takdir apa nak daya
Saturday, June 10, 2006
Ah lelaki….!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment