Wednesday, February 28, 2007

Ijab Qabul


Kelmarin aku ke walimatul urus seorang saudara. Alhamdulillah, segalanya berjalan seperti yang dirancang. Bukan datang sebagai tetamu, aku jua bagai orang penting yang tak menang tangan bekerja di belakang tabir. Usia muda bukan penghalang untuk menyibukkan diri dalam majlis2 sebegini. Dan hasilnya alhamdulillah, aku patut bersujud syukur kehadrat Ilahi.

Ijab qabul itu bermula selepas asar. Dengan sekali lafaz, maktublah seorang wanita itu menjadi milik suami. Tapi, apakah si suami faham dengan lafaz yang diucapkannya?? Itu jadi persoalan. Aku maklum bahawa ramai bakal2 suami telah pun menghafaz ayat yang senafas itu. Namun sekadar penghafalan tanpa pemahaman…. Mungkinkah? Ah, aku perempuan, pasti boleh berkata apa saja. Cuba kalau tangan kananku yang digenggam Tok Kadi? Digoyang kencang dan dihenyak erat. Pasti aku jua kan terasa seram sejuknya. Mmm…. mungkin. Namun aku berdoa agar bakal suamiku nanti (yang entah bila kan kukenali), bila tiba saat ijab qabulnya, kuharapkan dia agar tenang dan memahami apa yang akan dilafazkannya. Hanya lelaki yang memahami dan mendalami ucap nafaznya sahaja yang akan aku sanjung sebagai suami. Ah, tapi entah bila masanya (senyum). Wahai… enak benarlah melayan angan yang panjang, sedang umur masih muda belia. Kalau buah - masih tersa kelatnya.. Tini, Tini..

Ijab qabul itu bagai satu perjanjian yang bersaksikan tuhan. Ia bukanlah bahan mainan. Jadi seeloknyalah jika bakal2 suami di luar sana faham dan maklum dengan maksud sebenar ijab qabul tersebut. Bukan seperti ijab qabul di dalam jual beli, ijab qabul dalam pernikahan lebih bernilai dan tinggi martabatnya. Bukan semua boleh mengucapkan lafaz yang satu itu, dan bukan semua jualah yang berjaya melafazkannya dengan sebaik-baiknya. Ramainya yang cuma tahu menghafal dan melafazkannya dengan sekali nafas. Ah, bukan payah…. Akan tetapi, bila ucapan yang terlafaz itu kita fahami, maka dengan mudah pula lah ia masuk ke pundak hati. Dan maka sukarlah pula ia untuk didustai dan dikhianati. Cuba lihat di luar sana. Ramai isteri yang ditinggalkan suami, dan ada juga suami yang ‘ditinggalkan’ si isteri. Mengapa terjadi? Kerana ayat yang senafaz itu cuma bahan dagangan yang bisa dileraikan. Bukan suci dan murni. Bukan hak dan hakiki. Kerana itu ramai orang bercerai berai. Anak tak berbapa, adik tak berabang dan banyak lagi. Bukankah rugi? Ah, namun kata2 hati sebegini, mana mungkin difahami oleh orang yang banyak mata di luar sana namun tak pernah mahu melihat, banyak telinga namun tak pernah mahu mendengar…. Kekal rugi dan merugikan.

Wahai pengantin baru….
Kasihilah insan yang berhak dikasihi itu. Suamimu dan isterimu. Janganlah mendustakan janji 2 yang termetrai antara dua hati itu. Bukankah dia dulu yang kau sanjung dan puja? Yang wajahnya sering tergambar di ruang mata? Yang suaranya selalu menggoda jiwa? Nah, sekarang dia kan milikmu yang abadi, maka sayangilah dan berilah kasih sayangmu seikhlasnya. Bermesra lah dengan pasanganmu itu kerana ini lah masanya. Masanya yang ditentukan oleh Allah jua. Disaksikan adat, dinantikan akhirat. Kekallah bermesra bagai pengantin baru walau sudah berlapuk pun pakaian pengantinmu. Kerana dia tetap pengantinmu walaupun gugur rambut dari kepalanya, walaupun bercerai gigi dari gusinya. Hanya kasih sayang dan cinta yang ikhlas dan benar kerana Allah itulah yang kan mekar bertahun bagai pohon merimbun. Cinta yang hadir tiba2, bersih tanpa palutan noda dan dosa. Pelukan dan sentuhan yang hanya singgah setelah tiba saatnya. Itulah saatnya. Saatnya yang apabila namamu bersatu dengan namanya. Ijab yang menyatukan, qabul yang menyudahkan. Berwalikan ayahanda tercinta, bersaksikan sanak-saudara dan Allah yang maha Esa. Moga tibalah saatnya.. Saat namaku diseru di dalam lafaz ijab qabul itu….. (ameen dalam senyuman).

1 comment:

Nafastari said...

Itulah masalahnya di Malaysia ini
Ijab Kabul itu diadatkan dan hampir tiada lagi rohnya
kerana sudah kurang penghayatan
lafaz sekadar di bibir

kerana jurunikahnya mengutamakan pengucapan yg lancar, bukan maksud dan pemahamannya
dan sepatutnya imam yg menentukan sah atau tidaknya sesuatu akad itu, bukan ditanya pada saksi-saksinya

Akad- ijab dan qabul sepatutnya menjadi suatu kontrak perjanjian antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama
Maka tertanggunglah segala kewajipannya ke atas suami dan isteri