Tuesday, March 13, 2007

Pena tak bertinta

Ramainya penulis di luar sana. Terlalu ramai hingga tak terjamah mata membaca karya2 mereka. Tahu benarlah kita bahawa ramai di luar sana yang minat berkarya. Suka mengadun sarwaloka dan gurindam lara. Sesetengahnya penuh dengan ilmu dan santapan jiwa. Sesetengah lagi penuh dengan bakat dan kurnia anugerah. Ada juga yang menulis mengikut kehendak hati dan emosi. Malah ada juga yang suka berlawak jenaka dan berfantasi. Ramai… Dan banyak benar kita dengan limpahan ujana yang entah dibaca entahkan dilupa. Apa dibimbangkan.. menulis kan bukan untuk santapan manusia lain, melainkan untuk disantap dan dikenang diri sendiri. Namun ada juga getarannya bila mengetahui bahawa wacana kita disinggah pembaca. Getarannya kian terasa bilamana bicarawara yang tersedia diasak dengan entri2 yang mengharuskan kita untuk berkarya dengan lebih teliti dan terperinci. Bukan ikut hati. Ah tajamnya pena.. kan lebih tajam dari mata pedang yang elok buatannya.. Masakan kita lupa?

Ini senario dunia hari ini. Senario pena tanpa tinta nya. Semua boleh menulis, tiada siapa bisa menghalang. Semua boleh berkarya, tiada siapa boleh melarang. Menulis sekarang bagai menjamah makanan jua. Penuh variasi dan kepelbagaian seratanya. Jadi, seperti memilih mahu makan di mana, makanya begitu jualah untuk memilih bahan apakah yang mahu kita baca. Kebebasan yang ada pro dan kontranya. Iyalah.. Bila sudah banyak dengan lambakan permata, makanya tiada lagilah yang dirasakan istimewa. Semuanya sekadar biasa sahaja. Bagai kaca2 yang tak berharga. Kerana manusia sekarang lebih mementingkan nama dari kualiti karya yang dikarangnya. Asalkan ada sudahlah…

Banyak juga pena yang tidak bertinta di zaman kita. Bahan yang banyak tetapi tidak membawa kepada peningkatan kerohanian dan adab sopan, makanyalah akan menjadi penulisan yang disia-siakan. Ibarat menulis tetapi maksiat tetap tak mampu dikikis. Untuk apa dan untuk siapa? Kepuasan diri sendiri semata kah? Ah Tini.. Seperti kau jua mereka itu. Menulis dengan niat yang berbagai jua. Sesetengahnya diterima pembaca, sesetengah lagi dikritik dan dipalun segala. Itu perkara biasa. Lain padang, kan lain belalangnya..

Bolehkah aku dilabel sebagai penulis? Ah, sukar benar bagiku. Belum tiba dan belum pasti bila saatnya. Penulis itu bukan sekadar menulis dan berkarya. Setakat sekali dua dihantar dan tersiar di majalah, bukanlah cukup untuk menjadikan kita benar2 seorang penulis dan karyawan. Namun manusia sekarang merasa bangga bila karya mereka dicetak sini sana. Bangga nama mereka disebut2 mulut manusia. Namun input dalam karyanya? Perubahannya? Ilmu dan amalnya? Ada kah terpahat di mana2??? Belum pasti ada. Belum pasti tercapai objektifnya. Orang sekarang suka kepada banyaknya kuantiti, tapi seringkali lupa kepada pentingnya kualiti.

Aku menulis yang mesti dengan hati. Bilamana aku senang, gembira, letih dan tegang, aku takkan mampu berkarya. Ilhamku jarang hadir tatkala hatiku riang gembira. Jadi sukarlah hendaknya aku untuk menulis barang seperenggan dua tatkala keriangan itu datang menyinggah. Jadi aku fikir, aku takkan mampu menjadi penulis sepenuh masa. Mengharapkan makan dan minum dari pena yang diketuai akal dan ilham cuma. Aku takkan mampu.

Aku lebih suka menulis ketika aku ingin menulis. Blog ku yang sudah hampir setahun ini entah siapa yang singgah membacanya. Yang aku tahu pun, mungkin Nafastari. Kerana beliau kadangkala menyapaku dengan komen2 nya yang tersendiri. Yang lain mungkin Nyah, Ros merah dan Permatabonda. Tak pun Mai, Dilla dan Kak Sha, namun tak pernah mereka bersuara mengomen atau membantah. Mungkin Us juga sering menyinggah. Entah, aku tak tahu. Kenapa orang2 seperti Us tidak menulis?? Sayang.. jikalau benar Us menulis, hati sesiapa pun bisa terhakis..

Aku menulis kerana aku minat menulis. Aku menulis kerana aku mahu penulisanku membawa perubahan kepada JIWA2 yang membacanya. Seperti diriku jua.. yang berubah kerana termakannya jiwa oleh karya Aziz Afkar dan Hamka. Berubah kerana terpukaunya dengan kisah2 yang dibawa Talib Hassan dan Rahim Awang. Dan jatuh cinta pula pada ‘Ustaz’ yang dikarang S. Othman Kelantan. Itu aku. Aku mahu pembaca semua tahu. Bahawa aku dambakan keberkesanan jiwa dari sentuhan akal semata. Karya2 agung itulah yang telah menyentuh hatiku. Menyuntik semangatku untuk menulis yang entah untuk siapa. Sedikit tapi berisi. Pendek tapi berkualiti. Bukan tebal bagai tilam. Tapi isinya kosong dan kelam. Ah, menulis.. Biar sedikit dari tidak ada langsung. Namun biar tiada dari menulis yang rapu dan di permukaan cuma….. manakan mampu pembaca tiba di dasarnya.

Biarlah kita hidup dengan realiti dunia hari ini. Banyaknya bahan bacaan, namun jarang yang boleh menyentuh perasaan. Kerana menulis itu bukan lagi dengan pena dan kepayahannya. Yang tertulis itu bukan lagi dengan tinta yang hitam warna. Hitam bagai arang. Sekali terpalit, tak mungkin terpadam. Itu karya orang dulu2. Yang menangis merintih ketika berkarya. Yang tidak kaya raya dengan imbuhan honororiumnya. Sebelum kita membaca lantas berduka, air mata mereka juga telah banyak tumpah. Itulah penulis yang harus dibanggakan. Penulis yang menulis dengan pena dan tinta kehidupan.

******************************************

~ingat lagi aku rencana dua muka yang ditulis Rozilawati Abbas di majalah (aku lupa nama majalahnya). Indah dan penuh rasa. Aku baca sewaktu di tingkatan tiga. Namun memorinya tetap sirna tatkala kini usiaku menginjak dua puluh tiga. Namun di mana penulis itu sekarang?? Mungkin hilang tak dikenang orang… ah, sayang…

~aku ingat juga novel (bukan buku cerita) yang pertama kubaca- ‘Kuntum Kesedaran’ oleh Aziz Afkar. Aku baca seawal darjah tiga. Masih terlalu muda aku untuk menilai buruk baiknya..

~aku jua ingat sewaktu mataku basah meratapi rentetan kisah Haryati dan Zainudin dalam Tenggelamnya Kapal VDW karya Pak Hamka. Seminggu aku berendam air mata. Seperti aku yang bercinta lagaknya..

~dan tidak akan kulupakan ‘Hartini’ dan ‘Putik’ karya penulis kebanggaanku. Segalanya masih mekar dalam kenangan. Seminggu aku tak menjamah makanan. Diam lesu hidupku dihirup sendu dan kelukaan. Macamlah aku yang ditinggalkan…

~dan ‘Pelarian’ dan ‘Boneka’ dan ‘Ustaz’ dan ‘Imam’ dan ‘Salina’ dan ‘Donia’ dan banyak lagi yang semuanya bisa merubah prasangka dan akalku yang masih mentah. Moga bahagialah hendaknya mereka semua; penulis2nya……

p/s: ada buku yang kita baca untuk juadah minda, dan ada yang kita baca untuk juadah jiwa. Ada juga yang jadi petunjuk dalam beragama dan ada yang jadi bahan untuk ketawa gembira. Asalkan kita membaca, itu sudah cukup untuk menepati suruhan yang maha Esa… “Iqra’”- yakni 'bacalah!'

No comments: