Suratkhabar Utusan itu aku selak-selak. Laju bebola mata membaca setiap baris kata yang tertulis. Dari muka depan, sampailah ke muka yang terakhir segalanya dijamah mata. Bisik2 Awang Selamat pun sempat kusinggah. Ah, Awang… Pandai sungguh memerli dengan kias2 nya yang tak menyakiti hati. Suratkhabar diselak lagi. Kali ini terpampang gambar seorang wanita. Mukanya ditundukkan. Dia bercermin mata, rambutnya diikat satu kebelakang. Wajahnya muram sekali. Tampak sekali keadaan nya yang seperti ‘tiada rasa’ di saat gambarnya diambil jurukamera. Tiada pun riak2 penjenayah yang dapat dilihat dari wajahnya. Sekiranya lah pun beliau tidak digari, beliau tak akan mampu kemana-mana. Alam yang luas ini baginya mungkin telah menjadi sempit sekali. Mungkin segalanya bagai mimpi yang hadir tatkala malam, yang akan lenyap di dinihari.
Di bahagian bawah gambar tersebut, terdapat satu gambar lain. Gambar itu gambar seorang lelaki. Dia kelihatan duduk di atas lantai sambil memegang kepalanya, atau lebih tepat lagi mencengkam rerambutnya. Matanya merah seakan menangis. Dari riak wajahnya dapat digambarkan penyesalan yang tak dapat diungkapkan. Kesal benar nampaknya pemuda itu. Sehingga terjelepuk jatuh menangisi nasib diri. Mungkin difikirannya tertanya-tanya, mengapa ini yang harus terjadi. Namun apalah lagi yang boleh dilakukannya selain membawa bersamanya memori hitam itu hingga ke hembusan nafas terakhir.
Itu lah yang aku baca pagi tadi. Sambungan kisah seorang ibu muda yang menjerut leher dua orang anaknya sehingga mati. Gambar ibu muda itu aku tenung lama, lalu aku memandang pula kepada gambar lelaki (suaminya) dibahagian bawah. Kutenung tanpa rasa jemu. Riak wajah kedua-duanya aku perhatikan dengan penuh rasa ingin tahu. Sungguh sayu. Apakah agaknya yang ada di dalam hati mereka saat itu. Apalah agaknya perasaan mereka tatkala menyedari segalanya telah berlaku.
Mari fikirkan sorotan kejadian ini dari awalnya. Dikatakan oleh akhbar bahawa segalanya bermula apabila ibu muda itu mengesyaki bahawa suaminya ada membuat hubungan sulit dengan wanita lain. Mungkin cemburu dan syak wasangka ini telah berlaku sekian lama. Dalam erti kata lain, apabila cemburu dan marah itu sampai ke kemuncaknya, perlu ada jalan untuk melepaskannya. Sebelum kejadian itu berlaku, sang isteri telah memberi pesanan ringkas (sms) kepada suaminya supaya segera pulang ke rumah. Jika tidak, beliau akan membunuh anak2 mereka. Nyata sekali pesanan itu berupa ugutan yang jika difikirkan dengan akal yang sihat dan waras, adalah amat2 mustahil untuk dilakukan. (Ceh, dia takkan berani buat punyer laa… Nak bunuk anak? Takkan sampai hati punya..) Mungkin ini yang akan difikirkan oleh orang2 seperti kita yang sihat akal dan fikirannya. Nyata ugutan itu bukan gurauan. Apabila sang suami pulang saja ke rumah, nyawa anak2nya telah bercerai dari badan. Bukan sampai tak pulang, sekadar pulang lewat. Samada sengaja lambat atau terlambat soalnya beliau telah lewat untuk pulang. Dan kelewatannya kali ini nyata membawa kepada penyesalan yang bukan kepalang.
Tidakkah lelaki itu terfikir bahawa isterinya di waktu itu benar2 marah kepadanya? Itu kali pertamakah beliau membuat ugutan yang sebegitu rupa? Aku pasti ia bukan kali pertama. Salah wanita itukah kerana tidak berjaya mengawal emosi dan kemarahannya? Atau salah suaminya yang memandang enteng kemarahan dan ugutan bunuh isterinya? Sekiranyalah isteri itu membunuh suaminya, cerita ini akan jadi biasa. Membunuh orang yang kita benci, sudah jadi lumrah. Namun kerana si isteri itu mebunuh anak2 yang tak berdosa, semata2 kerana kesalahan suaminya, cerita ini jadi luar biasa.
Di dalam psikologi terdapat keadaan di mana setiap manusia akan menggunakan kaedah pertahanan ego atau ego-defense mechanism. Mekanisme in lah yang membantu manusia untuk mengawal rasa keluh kesah dan sebagai jalan keluar untuk melampiaskan kemarahan mereka. Terdapat berbagai-bagai ego-defense dan salah satu daripadanya adalah “displacement”. Di dalam displacement, seseorang akan menukar arah kemarahannya kepada seorang yang lain apabila objek kemarahan beliau tidak dapat diakses. Selalunya, objek yang menjadi mangsa kemarahan adalah seseorang yang lebih muda atau rendah tingkat hidupnya. Sebagai contoh, seorang pekerja yang dimarahi oleh bos di pejabatnya, apabila pulang ke rumah akan pula memarahi anak2nya sebagai cara pertahanan ego beliau. Mudah kan? Dan selalu terjadi bukan?
Mungkin inilah yang berlaku kepada si isteri di atas. Disebabkan tidak dapat memarahi suaminya, maka kemarahannya ditujukan kepada anak2 yang tidak bersalah. Adilkah? Tentulah tidak adil. Salah sang isterikah? Tentu juga bukan 100%.
Suami yang baik adalah seorang suami yang menjaga kerukunan rumahtangganya. Yang memahami tingkah laku isterinya. Yang berjaya menangani segala masalah secara jujurnya. Seorang isteri yang baik pula adalah seorang isteri yang menjaga nama baik suaminya, yang mempercayai kehidupan suaminya dan menerima buruk baik suami dengan seadanya.
Jika lah si suami itu faham benar dengan isterinya yang ‘panas baran’, maka seeloknyalah si suami bersegera pulang ke rumah dan menelefon saudara mara dan jiran tetangga untuk menengok-nengokkan keadaan isterinya di rumah. Manalah tahu kalau2 ugutan itu bukan sekadar ugutan. Tetapi ini semua akan cuma terlintas di fikiran suami yang jujur dan ikhlas. Yang risau dan mengambil berat tentang isteri dan anak2nya. Ugutan bunuh yang diterima tatkala sedang ‘dilayan’ wanita lain, ah.. Manakan dihirau.. dan itulah yang mungkin terjadi.. ia tidak mustahil.
Dan jikalaulah si isteri itu mempercayai dan tidak mengesyakki suaminya dengan membuta tuli, maka sewajarnyalah beliau menunggu kepulangan suaminya yang beliau maklum, sebagai pemandu lori, pastilah berhadapan dengan ragam jalanraya yang berbagai jua. Jika terlambat 10/15 minit itu perkara biasalah. Namun ini juga tidak terlintas di fikiran si isteri kerana emosi dan perasaan cemburu telah jauh menguasai pertimbangan akal yang murni. Nah… jalan keluarnya… melepaskan geram pada objek yang sudah tentu2 ada, yakni anak2 di rumah. Tak dapat peha, betis pun boleh juga…
Cemburu itu wajar, kerana cemburu menyatakan rasa kasih dan sayang kita pada si dia. Tidak cemburu, tidak cintalah maknanya. Namun cemburu yang dikuasai hasad dan dengki, bisa saja dikepalai syaitan dan sekutunya. Jangan pula salahkan syaitan, kerana kita jua bagai mengajaknya berdamping sama. Ikhlas dan sayangilah yang hak sahaja. Ibubapa mu, ahli keluargamu, isteri dan suamimu.. malah tuhan dan rasulmu. Jangan pula mencari cinta dengan menambahkan tekanan yang telah tersedia. Bercinta dengan manusia lain yang bisa pula mencarikkan kanvas cinta kita yang telah lama terbina. Tidak salah beristeri dua, namun jika yang satu itu pun jarang terbela, tidak perlu lah menambah beban yang ada. Cinta di awalnya memang mudah dan leka. Namun di hujungnya penuh ranjau dan siksa. Jika perkara2 sebegini difikirkan lelaki dan perempuan, maka tidak ada lah manusia yang mencurangi pasangan mereka. Namun yang indah selalunya bagai teori cuma. Mudah dibaca, jarang dilaksana.
Jadi salah siapakah? Salah isteri, atau salah suamikah? Yang penting bukan salah anak2nya. Dan yang bersalah itu pasti kan dihukum jua. Samada di dunia, mahupun di alam sana. Sekarang ini, jika dapat dibuktikan bahawa si isteri berada dalam keadaan tidak sedar atau unconscious, makanya beliau akan di tahan di wad sakit jiwa. Tetapi jika dapat disabitkan kesalahnya membunuh anak2nya dengan niat, maka hukuman gantunglah jalan penyudah. Jika difikir, semua berbalik kepada si isteri. Anak2 terbunuh, diri sendiri tertuduh. Apakah keuntungan dan kerugian di pihak suami?? Jawapannya adalah PENYESALAN. Si isteri mahu memberikan penyesalan yang tak terungkapkan kepada suaminya. Yang mana penyesalan ini akan dibawa bersama-sama dengannya sehingga menjadi trauma yang menggila. Sesal yang tak sudah, rasa bersalah yang tidak akan reda. Itu lah wasiat terakhir dari isteri itu untuk suaminya. Biar mati dalam kecelaruan, jangan hidup dibayangi dosa2 yang ditanggung badan…... Mati, orang tak heran.. Hidup, orang tak layan..
No comments:
Post a Comment