Wednesday, May 07, 2008

Harga cinta

Dedaun yang melambai itu aku pandang sepi. Sesepi hatiku sendiri. Lalu teringat pula akan pepohon itu yang tidak lelah2 berzikir memuji Allah. Sedangkan aku sendiri sering lalai dan leka dari mengingati-Nya

Adakalanya aku merasa bersalah, meminta2 sesuatu dari Tuhan, namun jarang sekali kurniaanNya yang melimpah ruah ini aku syukuri. Malah tidak segan2 untuk terus meminta dan meminta lagi. Bila aku kenang2kan, aku menung2kan sedalamnya, tentu lah saja Dia punya sebab mengapa tidak dikurniakan saja apa yang aku pinta – sebuah cinta dari manusia

Bila aku amati segala bentuk kemungkinan, maka sedikit demi sedikit, datanglah kesedaran yang cinta manusia itu belum tentu membahagiakan. Dengan cinta manusia itu, tentu saja bisa membuat aku terleka lalu lupa akan Tuhan yang Esa kerana terlalu asyik melayan cinta

Allah azza wajalla yang amat luas pengetahuan dan ilmunya tentu saja telah maklum akan perihalku, sifat dan kejadianku. Ya, tentu ada sebabnya dia belum mengurniakan cinta itu buat hamba sepertiku. Mungkin sepatutnya aku menambahkan lagi cintaku hanya padaNya semata2. Melahirkan sebuah cinta hakiki yang tidak betepi. Cinta Illahi

Namun sebagai manusia, tidak pula terlepas aku dari keinginan hati yang tulus suci, mahu mengasihi dan dikasihi. Mahu mengerti dan dimengerti. Memikirkan cinta, ada ketikanya datang rasa penyesalan, mengenangkan kamus hidupku keciciran satu halaman. Namun entah baik atau buruk kehilangan itu tidaklah dapat aku pastikan

Petang itu, aku didatangi utusan dari seorang sahabat yang telah lama menyepi. Datang mengutus berita bahawa dirinya kini sedang dirundung duka dan masalah yang bertimpa. Masalah yang menjelma atas nama cinta

Sahabatku ini seperti juga aku, masih belum pernah merasai nikmat cinta, erti cinta dan mencinta. Lalu diujilah dia dengan kehadiran seorang lelaki yang pada fikirannya dapat memenuhi kehendak hati dan jiwanya. Seorang lelaki yang pada mulanya hanyalah teman tempat berkongsi pengalaman dan suka duka kehidupan, lalu semakin lama dintimkan Tuhan akan dua jiwa itu untuk merasai kemekaran kelopak2 cinta yang indah bahagia

Lalu setelah dua jiwa itu bertaut utuh dan ingin ditambatkan dengan akad yang benar atas nama Tuhan, lalu didatangi pula ujian penerimaan kedua orang tua yang tidak seperti yang diharapkan. Cinta mereka ditolak atas dasar ketidak-samaan taraf pekerjaan si lelaki dengan temanku ini. Lagi pula sahabatku seorang pegawai kerajaan, maklum sudah akan hala tuju hidupnya. Lalu lelaki ini dikatakan sekadar mahu menumpang kesenangan, bagai semut yang menghurung manisan

Lalu atas sebab cinta yang baru dipupuk itu, yang dulu ditunggu2, maka hilanglah pula cinta dan kasih sayang ayah bonda kepada anaknya. Maka anak perempuan yang selama ini disayangi mereka dianggap bagai musuh pula. Memanglah tidak dinafikan perlunya hubungan rumahtangga dan cinta, namun tidaklah ia semudah menerima sesiapa saja yang datang mengetuk pintu bahagia, kira2 begitulah yang difikir oleh kedua orang tuanya

Rumit benar.. malah terlalu rumit untuk dirungkai dengan patah2 tulisan dan perkataan. Cinta yang ditunggu2 itu hadir, tetapi untuk mendapatkannya, terpaksa pula mengorbankan cinta yang sedia ada

Bukanlah dalam hidup ini kita terlampau mahu menjaga status dan nama. Aku juga tidak terganggu jika bakal suamiku bekerja jauh lebih rendah pangkatnya dariku. Bukanlah cinta itu memestikan setiap pasangan harus seiringan dan sempurna segala peri, kerana tujuan cinta itu sendiri adalah untuk saling lengkap-melengkapi. Namun masalahnya kini adalah hilangnya redha dari ibubapa, sedangkan dalam sesebuah perhubungan, tiada apalah yang lebih penting dari redha ibubapa itu sendiri

Dalam kesedaran dan kesyukuran, aku maklumi pengertian halus yang Tuhan kurniakan kepadaku. Mungkin sebagai petunjuk bahawa cinta itu tidaklah semudah yang diungkapkan kisah2 cereka. Sentiasa indah dan membahagiakan saja. Cinta itu satu kurniaan yang mesti pula dibayar harganya. Dalam diam aku sedikit mengerti, mengapa cinta itu tidak diberikan kepadaku lagi

Utusan sahabatku itu telah pula kubalasi dengan kata2 hikmah, tidak memuji dan tidak juga mengeji setiap perbuatannya. Aku mengingatkan dia bahawa kedua-duanya amatlah penting dalam hidupnya, baik cinta mahupun kedua orang tuanya

Namun aku tekankan kembali, tiada ibubapa yang mahu melihat anaknya berduka. Tentu saja kebimbangan mereka itu punya sebab-musababnya. Apa yang boleh dilakukan, adalah dengan memenangi semula hati ayah bonda. Jika dapat dia membuktikan bahawa lelaki yang dicintainya, lebih mencintai dia dan perilakunya dari mencintai nama dan kedudukannya, maka di situlah akan tamatnya segala masalah. Selain dari itu, aku serahkan saja pada Allah taala untuk memandunya ke arah bahagia. Kerana bahagia buatnya, tentulah bahagia buatku jua dan begitu jugalah sebaliknya

Lalu dalam kejauhan pepohon yang melambai itu aku tenung dengan pandangan mengasyikkan. Dan datanglah kebimbangan, takut akan pepohon yang kaku itu terjamin kedudukannya di syurga Allah, sedangkan aku hambaNya yang sempurna masih meraba2 mencari arah. Masih lagi terpanggil melalui denai2 dunia yang serba fana

Astaghafirullah… aku beristighfar panjang. Menarik nafas yang paling dalam. Aku mahu cinta, namun aku lebih mahu hidup di dunia dengan kasih sayang ayahbonda dan keluarga. Jauhkanlah aku dari ujian yang tak mungkin mampu aku hadapi, melukakan dan mendurhakai ibubapaku sendiri. Tidak, itu tentulah saja tidak mampu aku tangani

Biarlah aku kehilangan sebuah cinta, dari kehilangan kasih sayang yang telah lama terbina. Jauhkan lah aku dari semua bebanan2 itu, Ya Allah. Biarlah saja hidup ini kucurahkan kepadaMu. Biarlah Kau saja yang sentiasa bersamaku, yang kuseru dan kupujuk rayu. Cukup2lah sudah kulakukan segala dosa yang tak terkira. Biarlah kini hidupku dipandu cahaya dan redhaNya

Namun cinta sejati… dalam akal insani yang masih punya hati dan naluri, tetap juga kan kunanti. Semoga ia diberkati dan diredhai. Hanya itulah saja yang kuhajati, jauh di lubuk hati ini................

4 comments:

Anonymous said...

saya dapat memahaminya
-najib-

hartini omar said...

tuan najib,
pemahaman yg bagaimana agaknya?

Nafastari said...

Bagai mengingatkan saya kepada cinta Raba'ah Adawiyah kepada Penciptanya sehingga menolak cinta daripada manusia...

Semoga Tuhan kurniakan kamu perasaan cinta yang kamu perlu.

Hartini Omar said...

tuan nafastari,
-itu jugalah doa saya.. kerana saya sendiri lebih maklum bahawa saya benar2 memerlukan cinta =)