Friday, November 21, 2008

Terus jadi pembaca...

‘Betul tak mahu?’

“Betul,” aku jawab sambil menggeleng perlahan. Juraian bebenang di pinggir sejadah itu aku main-mainkan dengan tangan. Al-Kitab yang tertutup masih erat dalam genggaman. Diam-diam, aku duduk melayan angan

‘Kenapa tidak?’

Aku tarik nafas dalam-dalam. Masih belum mampu menjawab pertanyaan itu. Terlalu banyak yang dirangkul minda, sehingga sarat segalanya menepukan dada

‘Hey, kenapa tidak?’

“Entah… Mungkin kerana aku bukan orangnya,” aku menjawab pasrah. Sedikit terganggu dengan persoalan-persoalan yang menyeru, tidak pernah jemu-jemu

‘Kenapa bukan?’

“Cukuplah sekadar aku katakan kerana aku telah diciptakan menjadi yang lainnya. Lantas kerja-kerja itu eloklah aku serahkan pada yang berhak saja,”

‘Atau kau sebenarnya penakut?’

“Mengapa pula harus takut?” kini nadaku berubah marah. Sedikit calar bila kata-kata nista dibawa mencemar gegendang telinga

‘Ya, kau sebenarnya takut. Atau lagi molek dipanggil pengecut!’

“Aku tahu aku bukan,” kembali perlahan, membawa perasaan agar bertenang. Itukan hati, maka ia boleh bercakap juga sesuka hatinya. Diamkan saja

‘Kau terlalu takut bila tulisanmu tidak dapat diterima umum. Kau takut jika tulisan yang kau harapkan madu menjadi racun,’

Diam

‘Kau bimbang mahu tulisanmu dibaca orang. Lalu bila tidak ketemu hal-hal yang mahu dibaca orang, jadi kau terus berhenti menulis dan mengarang. Bukan begitu?’

Diam

‘Maka kerana itu kau lebih layak digelar pengecut. Kau tidak ikhlas dalam perjuangan dan penulisanmu. Kau menulis demi apa yang orang lain mahu. Sedangkan apa yang kau perjuangkan ini adalah tentang jiwa. Untuk mengisi kekosongan jiwaraga!’

“Tapi bukankah indah jika tulisan itu diterima semua. Maka dapat pula membantu orang lain supaya hidup mereka lebih bahagia,”

‘Mereka yang bahagia, atau kau sendiri?’

“Lalu kalau kedua-duanya sekali, mengapa tidak?”

‘Kerana itu kau lupa, Tini. Penulis yang menulis dengan hatinya tidak pernah memikir apakah hasil yang akan diterimanya. Bahkan pengisian itulah yang utama. Mereka perit dan sengsara, namun keperitan itulah yang menjadi sumbu yang menghidupkan nyalaan jiwa,'

Berhenti

‘Yang penting bagi mereka adalah jiwa pembaca dan jiwa mereka, agar dapat menyerap nafas seni yang tak tercatat di lembaran2 muka, tak tertulis dengan pena dan tinta. Ia ada dalam tiada! Dan penulis yang seperti itu, sebelum air matamu tumpah, air mata mereka juga bukan sedikit telah tercurah,’

Berhenti lagi

‘Tetapi, ada juga yang terlalu memikirkan tentang hasil dan penerimaan pembaca. Mereka menulis demi apa yang mahu dibaca pembaca, walaupun tanpa jiwa, walaupun tanpa rasa. Mereka bangga nama mereka dicatat berjela-jela. Mereka menulis kerana menulis itu telah jadi kerjaya yang mendatangkan harta, mencanangkan nama--

“Itu kerja mereka, jadi ia tidak salah,” aku memotong

‘Ya kerana itu aku berikan perbezaannya. Kau mahu menulis untuk dirimu atau untuk pembaca?’

“Bukankah memang tugas penulis agar penulisannya dibaca?”

‘Tidak. Sebagai seorang penulis, kerjamu hanya perlu menulis. Soal dibaca atau ditolak orang, itu tak perlu kau ambil kira. Bila kau mula memikirkan tentang pembaca, kau samalah seperti peniaga. Kau meniagakan hasil tulisanmu lantas menulis apa saja yang pelangganmu mahu, walaupun tulisan itu lari jauh dari nilai2 peganganmu, jauh dari kehendak rasa dan jiwamu,’

“Ya,” aku angguk2 perlahan, faham dengan konflik yang dirakam hati

‘Hanya peniaga yang meniaga barangan yang menjadi permintaan. Kerana kepentingannya adalah perniagaan. Maka jika yang kau niagakan itu adalah barang yang tidak diperlukan orang, maka sudah tentulah perniagaan itu kecundang,’

Berhenti

‘Tetapi ini menulis. Menulis seharusnya ihlas datang dari hati penulis. Walaupun banyak yang ditulis itu akan mengguris dan tidak menyenangkan hati pembaca, lalu pembaca memulaukan dirimu dan meletakkan engkau jauh-jauh; tidak mengapa. Kerana kerjamu cuma menulis. Bukan pelapor jualan yang perlu membuktikan bahawa karyamu laris di pasaran,’

Berhenti sejenak, lalu menyambung lagi

‘Kita sudah terlalu banyak penulis yang menulis tanpa jiwa . Sehingga jika kita ke toko-toko buku, tiada apa pun yang dapat kita belikan untuk santapan rohani dan ruhi. Kerana banyaknya cuma hidangan duniawi yang mematikan hati,’

“Ya,” aku angguk kecil

‘Jadi, mahu atau tak mahu?’

“Mahu apa?”

‘Jadi penulis!’

“Aku bukan tak mahu, tetapi tak mampu. Aku takkan mampu menjadi penulis yang begitu,” kujawab perlahan. Sedikit kesal tatkala banyak yang berlaku di seluruh kehidupanku tidak dapat kukawal

‘Kalau tak mahu menulis, atau tak mampu katamu, apa juga kerjamu?’

“Aku akan terus jadi pembaca,”

‘Dangkal!’

“Mungkin…,”

‘Sampai bila?’

“Sampai bila-bila,” sambil tersenyum, lantas membuka Al-Kitab di tangan, terus memulakan pembacaan yang dengan nama Tuhan. Aku akan terus jadi pembaca. Malah pembaca yang setia....

hartini omar
20/11/08
7.45pm

15 comments:

Ummu Afeera said...

ada sentuhan yang sukar saya terjemahkan saat membaca entri ini...mungkin konflik kita adalah konflik yang sama...salam ukhwah...tulisannya baik sekali...

hans said...

jadi penulis?
wah,bestnya..
kalau dapat peluang macam tu saya mesti terima

Rahimin Idris said...

erm, menulis tu sangat sukar beb. aku mahu menulis sesuka hati tanpa paksaan. bebas dan bukan untuk duit atau populariti.

sekitar 2003 dahulu aku mula menulis cerpen dan sajak. semua hasilan aku serius sangat. banyak juga tersiar. tapi aku tak mahu dikenali. dikenali orang tak seronok. aku buat blog 2004, aku delete sebab bosan.

aku tulis cerpen dan sajak semula diam2. mac 2005 cerpen aku menang Hadiah Sastera Tunas Cipta 2005. aku pergi DBP, tapi dengan penuh rasa kerdil. 2006 sajak aku yang berjudul "Kalau kita menjadi kayu" di angkat sebagai salah satu pemenang HSKU05. ada kau link kat blog penyair tu. aku tak pergi pun ambil hadiah di KL. aku bersyukur dan berterima kasih, tapi tak peduli semua tu, dan bergembira dengan kawan2 yang tak tahu pun pasal tu.

kemudian aku menulis lagi sendiri-sendiri. banyak juga cerpen dan sajak aku simpan. entah bila nak hantar. aku pun macam tak berapa nak peduli dah samada orang baca atau tak.

tahun ni aku buat blog semula. boleh tahan pengunjung. tapi entah mengapa rasa bosan menyerang semula. kadang2 teringin nak delete saja. dan menulis sajak semula dan jadi abdul rahim idris semula. itu bukan nama betul aku, tapi bila menulis guna nama tu, karya yang keluar dari kepala aku jadi serius sangat! HA HA

oh ya, seronok dapat kenal tulisan2 kau!

Hartini Omar said...

ummuafeera,
-terima kasih banyak. singgahan tuan banyak memberikan semangat pada saya. sekurang-kurangnya saya tidak seorangan bertemu buntu tika bercakap-cakap dengan jiwa

orang mcm kita kata org perasaannya terlalu murni, sesekali sukar dimengerti. terima kasih banyak

hans,
-saya bukan jadi penulis. cuma terus jadi pembaca.. terima kasih menyinggah

rahimin,
-kamu itu org besar, min. punya nama besar, peminat besar. setakat aku dengan kamu, mana dapat kita bandingkan

aku pun dah jadi takut menulis. aku takut aku tiba2 lari dari maksud hati. terus mahukan yang asyik2 dari duniawi. aku banyak tulis puisi, tapi aku tak pernah hantar walau satu pun. entah, aku takut. mungkin takut gagal, lalu nanti aku jd putus asa dan tak mahu menulis semula

nama sebenar aku pun bukan hartini. malah jauh benar. tapi aku suka nama hartini ni. ia buat aku keluar sekejap dari kehidupan aku yg penuh duri2..

biarlah org ckp aku penulis yg syok sendiri, yg penting aku tulis dari hati dan ikhlas untuk hati

terima kasih krn sudi kenal tulisan2 aku. aku pun sangat leka bila baca tulisan2 kamu

Rahimin Idris said...

kau terlalu memuji. aku jadi segan sungguh-sungguh.

menulis macam menghidupkan diri kita selama-lamanya. dah masuk kubur pun suara kita masih merayau-rayau. di depan tuhan nanti niat tulisan kita akan diuji kembali secara tuntas.

kalau kau nak hantar tulisan2 kau ke media cetak, hantar saja. lepas tu anggap diri dah mati. aku setiap kali hantar pun tak peduli lagi tersiar atau tak. malas juga pikir pasal imbalan. tapi kalau rezeki lebih, benda tu datang sendri jika tuhan nak bagi. kadang2 jadi ujian pulak. kau cubalah.

tak ada istilah syok sendiri sebenarnya bila kau menulis dengan jujur. aku suka baca. selalu juga baca. kau bangunlah dengan cara kau. sebarkan perasaan dan ilmu2 kau. walaupun orang tak kenal kita.

Ishan_Qureshi said...

Salam HARTINI,

Sungguh hebat kata-katamu...selayaknya kamu digelar penulis ulung yg bisa membuatkan jutaan pembaca jatuh hati dgn penulisanmu...ermm, mungkin juga jth hati dgn dirimu sendiri..hehe;-) Duhai mata..kenapa engkau rabun, hinggakan ku tak bisa membaca apa yg Saudari Hartini tintakan di sini?!! Duhai kaca mataku..kenapa di saat daku memerlukanmu utk membantu penglihatanku,tiba-tiba shj kau jatuh...pecah dan hancur berderai? Kenapa..?! Kenapa semua ini terjadi? Aku sudah tidak dpt menikmati keindahan panorama dunia seperti sediakala lagi? Huhuhu...spek saya pecah..melayang lagi duit..huhuhu:-(

Hartini Omar said...

rahimin,
-terima kasih banyak atas nasihat kamu. tgk lah, mana tau nanti bila2 aku benar2 jadi penulis.. atau sekadar terus jadi pembaca...

ishan,
-kamu sering bergurau dlm keseriusan saya. tapi adakalanya ia membantu. membantu saya untuk bertenang dan kembali dgn selamat ke bumi nyata. terima kasih
p/s: kamu rabun juga? haha, samalah kita

Ishan_Qureshi said...

Salam HARTINI,

Maaf andai gurau-senda saya ini buat kamu tidak selesa. Jika kamu tidak suka, bilang saja sama saya. Saya janji kok, selepas ini saya nggak akan pernah bercanda lagi tika kamu sedang keseriusan. Maaf yach:-) Tapi betul la, dah seminggu lebih dah spek saya pecah..tak sempat nak pi buat baru. Terlupa..saya letak spek dlm poket baju, pastu dok bongkok nak amik wudhu'..trus jatuh dan pecah. Moral of the story, len kali kena buat spek yg berbingkai penuh, bukan jenis yg takde bingkai langsung atau yg jenis bingkai separuh je..dan jgn sesekali buat cermin spek yg fully kaca..hehe!

HaNie said...

Oh Ishan.. saya punya spek yang fully kaca.. spek itu pertama kali dibuat pada tahun 2002 dan masih utuh sehingga sekarang. Tetapi saya tidak suka memakainya melainkan semasa memandu kerana saya tidak mahu membahayakan orang lain dengan memandu dalam keadaan tidak boleh nampak papan tanda pun. Hehe.. tapi sekiranya saya serius untuk memakainya saya akan menggantikan yang baru spek saya yang masih utuh itu..

HaNie said...

Cik Hartini,

Kamu memang mempunyai bakat yang hebat dari segi penulisanmu dan saya amat kagum dengan kamu tetapi saya tak mungkin menjadi seperti kamu. Saya masih dalam proses belajar.. Belajar menulis.. Ini pun saya mula menulis setelah melihat Saudara Ahmad dan Ishan menulis blog..

Hartini Omar said...

tuan hanie,

-saya fikir kamu teman ishan dr cara kamu bersapa dengannya. terima kasih banyak atas kekagumanmu. saya sendiri masih belajar, dan pasti terus belajar. kamu teruslah menulis, krn mungkin dgn menulis kelukaan dpt ditepis.. singgah kembali ya

Nafastari said...

Hartini, saya percaya hati kamu selalu berbisik tentang hak dan kebenaran. Jadi kali ini ikutlah kata hati dan semoga bahagialah jiwa kamu. Doa saya sentiasa bersama kamu.

Terima kasih atas komen kamu pada "Tersalah Beli Anjang-anjang". Sedar tak sedar kita bagaikan telah beranjak ke satu lagi peringkat yang berikutnya. Saya berharap agar kita terus dengan niat dan cara kita yang lama, yang ikhlas dan baik. Tidak tergundah dengan lara dunia dan godaan kata-kata yang manis mahupun mata-mata yang galak. Mungkin boleh mencontohi Rahimin, saya rasa dia sangat unik dan baik. Selamat berjuang sahabat!

*Mawar Nafastari* said...

teruslah menulis.. dan jdi pembaca itu harus..

iqra'... ayat pertama diturunkan oleh Allah kepada nabi Muhammad s.a.w.. jadinya mmg kita harus membaca kan? :)

btw, tidak ada apa pun peningkatan di blog saya cik hartini.. hehe, biasala, bosan duk umah sorang2... 24hrs online je.. :)

Hartini Omar said...

ahmad,
-terima kasih kembali, semoga kita sering ingat-mengingati

dan mawarmu,
-terima kasih sudi menyinggah. habiskan masa sebaik-baiknya. percayalah, waktu senggang inilah kamu boleh membelek2 blog dan mencantikkan mana yg patut. nanti jika sudah mula bekerja, kamu pasti akan mencemburui masa.. terus menulis ya

terima kasih anda berdua

Anonymous said...

dah cuba baru tau. jangan menyerah kalah sebelum berjuang!