Saturday, September 25, 2010

Malam

Malam, usai menyudahi solat Isya’ dan membaca beberapa helaian Al-Quran, aku duduk termenung di luar. Bayu yang dingin bertiup kecil, menggigilkan aku. Dalam menahan kesejukan itu, perutku berbunyi. Ya, untuk tiga hari ini hanya sekeping biskut kering dan air Teh O panas sahaja yang berjaya disentuh bibir. Aku masuk ke dalam, berlalu ke dapur

Aku lihat sekeliling. Ah, apa saja yang dapat aku masakkan? Aku buka bekas beras di bawah almari dapur. Ada. Aku cedok secawan kecil, lalu letakkan dalam periuk. Aku tak pandai masak, jujur. Selama ini aku hanya makan di kedai. Dan kalau makan di rumah pun, orang lain yang masak. Aku cuma makan. Dalam waktu2 sempit begini, aku fikir, eloklah aku masak sendiri

Kalau masak nasi, lalu apa pula lauknya? Aku buka peti sejuk, kosong tiada apa. Aku tarik nafas. Ah, sukar.. Aku tengok dalam bakul bawang, ada seketul biji kentang. Aku kupas dan potong dadu. Biar beras ini aku masakkan jadi bubur sahaja

Aku basuh beras, sampai airnya jernih. Aku letakkan air dan aku masukkan kentang sekali. Entah betul entah tidak, aku tak pasti. Aku masukkan garam, dan aku tutup periuk. Aku takut terjadi apa2 pada bubur yang aku tanak lalu aku duduk saja memerhatikanya. Aku senyum sorang kelucuan. Kalau orang lain, takkan sanggup mereka merenung periuk itu dengan tekun seperti aku

Aku buka penutup itu sedikit bila aku dengar air mendidih. Aku kacau beras bersama kentang tadi. Aku cedok sdikit airnya, dan aku rasa di lidah

Tawar. Tak sedap

Aku tarik nafas. Mengeluh perlahan. Aku nampak perencah maggie ayam dalam timbunan sos. Mungkin saki baki maggie yang dibuat maggie goreng, lalu perencahnya dibiarkan saja. Aku ambil, koyak perlahan dan taburkan separuh ke dalam bubur. Aku kacau dan kembali merasainya

Ya, sekarang boleh tahan.

Aku tambahkan sedikit garam, aku tutup periuk dan perlahankan api. Dan aku berlalu ke ruang tamu..

………………………….

Malam ini aku makan bubur masakkan aku sendiri. Ia jauh dari sedap tapi sekurang2nya aku dapat bertahan sehari lagi. Sekarang aku tahu kenapa orang2 susah suka makan bubur. Ianya kerana bukanlah mereka suka, hanya kerana bubur itulah saja makanan yang mereka ada. Hanya beras dan garam, sekurang2nya dapat memberi tenaga kepada tubuh badan. 1 cawan beras dapat menjadi seperiuk bubur yang boleh menyuap mulut ramai insan

Aku makan buburku dengan kicap. Aku makan suku dan tinggalkan selebihnya untuk hari esok. Hari ini aku susah dan menderita, tapi aku bahagia. Semoga hari ini menjadi pengajaran maha berguna

………………………….

Aku tahu di malam ini ada orang di sana yang sedang bergembira dengan juadah dan majlisnya. Alangkah bahagianya hidup mereka bertemankan senyum tawa…

Ya, tentu mereka bahagia...

Sabtu
25 September 2010

1 comment:

Anonymous said...

teruskan berjuang..teruskan memandang kehadapan..TERUSKAN!

-always be there 4 u-