Friday, November 04, 2011

Resah di hati papa

Aku lihat wajah papa muram. Namun masih berbaki ketenangan yang mungkin sengaja papa biaskan. Agar tidak terlalu nampak akan kesedihan dan kepasrahan hatinya. Aku tahu dan sedar bahawa papa sedang bersedih. Kepasrahan hatinya itu terlalu jelas lebih2 lagi apabila ada yang bertanyakan soalan tentang perkara itu. Namun untunglah papa masih ada mama yang sudi menyokongnya dari belakang. Mama yang sudi membelai dan memujuknya bagai memujuk anak kecil yang menangis kerana tidak dapat dipenuhi hajatnya. Untunglah seorang lelaki jika mempunyai seorang wanita yang kekal setia berada di sisinya saat suka duka

Ahad ini kita akan menyambut Hari Raya Iduladha. Hari Raya Korban yang menuntut sebenar2 pengorbanan. Seperti papa yang terpaksa mengorbankan keinginannya untuk mengerjakan haji tahun ini. Bila papa bersedia sungguh2, dengan wang pendaftaran yang bukan sedikit dikeluarkan, kursus yang dihadiri, latihan diri dari segi perbuatan, emosi dan perkataan, semua itu berlansung di depan mata ini.

Papa rasa dirinya sudah bersedia mengadap Ilahi, kerana memang itulah saja yang diingininya. Entah kenapa beliau beria benar, bagai tidak ada esok lusa. Entahlah, mungkin papa merasakan bahawa hari2 mudanya terlalu banyak disia-siakan pada dunia dan kebendaan, dan serasa mahu saja dia membayarnya semula dengan berjumpa dan bertandang sendiri ke rumah Allah sana. Namun apakan daya, di tahun ini tiada yang menjemputnya

Papa masih muda. Baru 51. Mungkin sebab itu nama beliau masih belum tersenarai. Namun ada ramai lagi manusia2 di dunia yang masih bersuka ria hatta di umur 61 pun. Cuma itulah, papa seorang yang cepat belajar dari silap dan salah, dari khilaf dan dosa. Papa tidak pandai mengaji. Ada pernah aku tuliskan di laman ini tentang kisah itu. Namun sekarang dia telah arif. Papa belajar dengan usaha yang terlalu deras. Untuk membaca segala ayat2 tuhan dengan lancarnya. Dan sekarang papa mampu, mampu mengimami solat sekeluarga. Mampu mengqada kan solat2 yang tercicir di kala muda

Papa mengaji hari2. Setiap kali lepas solat. Kedengaran suaranya sayup2 mendendangkan ayat2 suci Al-Quran. Aku pejam mata dan malu sendiri. Aku yang lancar dan belajar mengaji dari kecil sampai besar pun terlalu malas dan berat untuk menjadi macam papa. Sejenak aku terkenang, benarlah bahawa Tuhan memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya

Aku tidak ada pengalaman macam papa. Aku belajar mengaji dari kecil sampai dewasa. I take things for granted. Disebabkan aku memang tahu mengaji dan kenal hukum hakam, ada banyak perkara yang aku terlepas pandang. Namun papa orang tua yang belajar di zaman tuanya. Dan kerana itu beliau menghargai segala-segala yang dipelajarinya. Setiap baris, titik dan tanda. Ah, sangat teliti mata tua itu

Papa kata persediaan untuk ketanah haram mesti dilakukan dari sini. Bukan setakat persediaan seperti mengetahui hukum2 bacaan dan sebagainya, tawaf di padang depan rumah selama beberapa jam sehari demi membiasakan fizikal dengan tawaf sebenar nanti, atau sekadar persediaan luaran yang mampu diperhati. Apa yang lebih penting adalah persediaan dalaman dan rohani. Persediaan jiwa dan emosi. Mempertingkatkan mutu sahsiah agar semua yang baik2 terbawa2 sampai ke sana. Memperhalusi dan membentuk niat2 yang ikhlas dari sekarang, hingga yang ikhlas dan tulus itu akan terbawa2 hingga ke tanah haram

Itulah yang papa sebut dan beritahu ketika kami sembang2 di waktu petang mengadap halaman. Papa katakan bahwa dia benar2 mahu menunaikan haji. Benar2 mahu merasa melangkah dan mengagungkan Allah, tuhan yang Maha Berkuasa. Dan papa lakukan sedaya upaya agar dapat menyelesaikan rukun islam kelima itu bersama2 dengan mama. Kalau boleh, di tahun ini

Namun dua minggu lepas bila aku tanyakan apakah status permohonan haji papa, papa sambut dengan seyuman yang tidak berjaya menutupi kepasrahan hatinya.

- "Tak dapat lah kak. Tak ada rezeki nampaknya".

Mama menyambut keluhan itu dengan tepukan lembut di bahu papa,

- "Mungkin ada banyak perkara yang Tuhan mahu kita pelajari, sebelum kita datang lalu menjadi tetamunya nanti. Insyallah, kalau ada jodoh, ke sana juga kita"

Ada air mata yang aku tahankan di saat mendengar jawapan mama dan senyuman papa. Oh Allah Azzawajalla, jika lah tidak sempat mereka ke sana, maka Engkau terimalah niat dan keinginan haji mereka yang meronta2. Dan berikan aku kekuatan agar dapat menyempurnakan harapan itu. Namun jika masih ada sayang dan cinta, jemputlah mereka sendiri datang bertemu-Mu. Dan sambutlah mereka dengan cinta dan kemaafan yang takkan jemu2

Ini keinginan paling bermakna. Dan hanya diberikan kepada mereka yang Dia ingini sahaja

Hari raya Qurban yang berkat, dengan pengorbanan yang terlalu berat

Untuk tetamu2 Allah di sana, Selamat menunaikan ibadah. Mabrur insyallah

2 comments:

Umi Azrini @ Umi Kauthar Abdul Razak said...

ameen, semoga tahun 2012 papa dan mama cikpuan dijemput Tuhan ke Baitullah, ameen. saya doakan.

Hartini Omar said...

tuan umi,
terima kasih banyak2 atas doa dan harapan itu. sungguh keduanya amat2 memerlukan doa2 sahabat seperti tuan

terima kasih