Wednesday, June 07, 2006

Apa ada pada nama??

Ramai orang bertanya, “apa ada pada nama?” “setakat nama, buat apa?” “Alah, nama saja gah..” Bagiku, tafsiran orang2 yang berkata demikian banyak berbaur negatif dari positif. Nama kalau dilihat dari sudut positif adalah aspek terpenting dalam pengenalan diri. Dengan nama, kita dikenali. Dengan nama, orang mengenali kita dan kita mengenali orang lain. Orang2 Arab amat menghormati nama sehinggakan mereka tidak akan memendekkan nama seseorang. Bukan seperti masyarakat kita yang suka memberi nama singkat atau jolokan pada orang lain. Khatijah kita panggil Katty. Johari kita panggil Jo dan Abdullah kita panggil Lah. Dan yang lebih sedih lagi, kita bangga dengan gelaran Husin Gemok, Osman Tempang, Tipah Janda dan Mak Ngah Udang. Sangat2 kerugian jika kita melihat nama yang disingkatkan menjadi rendah martabatnya kerana tiada atau hilang maknanya. Kerana nama, kita bukan lagi Hang Tuah yang disegani, bukan lagi Tun Teja yang dihargai dan bukan juga Siti Nurhaliza yang digilai.
Tetapi itulah.. Itulah kita orang melayu.. Kita kan melayu yang tak pernah kisah.. Melayu yang melulu.. Melayu yang layu.. Yang tidak pernah bangun bila jatuh, tidak pernah sedar bila dikejutkan dan terus alpa dan leka dengan angan2.. Terkenallah kita dengan senda loka Mat Jenin yang hanyut dengan labu-labunya.. dan ceritera Pak Pandir yang tergadai maruah dan tanahnya. Itu lah kita. Waris si Jenin dan Pandir yang terpinggir.. Mundar mandir ke hulu ke hilir…


Hartini Omar- Nama cermin jiwa


Kusuka nama hartini ini. Hartini yang digambarkan dalam HARTINI* adalah seorang gadis yang penuh ciri2 kemelayuan.. bukan melayu yang melulu dan bukan melayu yang layu.. Hartini gadis budiman yang senang datang bila diperlukan, senang sedar bila dikejutkan dan tidak melatah dengan perubahan zaman. Kemana pergi, Hartini masih membawa aspek2 kesantunan yang di’develop’ dalam dirinya. Mungkin ciri2 wanita sejati itu diperoleh Hartini hasil dari tunjuk ajar pengasuhnya, atau dari ‘environment’ nya sendiri yang membantu Hartini membentuk peribadi tinggi. Tapi sebagai manusia, Hartini juga tidak lari dari masalah yang datang bertimpa. Dari duka yang membawa kepada lara jiwa. Cuma atas sebab berwajib yang ada pada diri Hartini, dia menjadi mangsa korban dirinya sendiri. Mangsa ajal kesantunan dan keluhuran budinya sendiri. Tiada siapa yang salah dan harus dipersalah.. cuma masa dan suasana yang tak dapat ditempah sebelum tiba ketikanya telah datang mengusung hiba.. Nah, bila situasi tak disangka itu hadir, kekallah Hartini menjadi bagai Haryati** yang terpaksa akur pada tentuan takdir.. Terusir dan terpinggir.. Jadi, kenapa Hartini?? Kerana dalam Hartini ada jiwa murni.. jiwa2 yang hanya hadir dengan ketulusan hati… yang mana di suatu waktu dulu, di antara satu zaman yang telah berlalu, aku pernah menjadi Hartini yang tinggi pekerti, dan pernah juga menjadi Hartini yang dikorbankan luhur dan santun budi..

*Novel Hartini oleh Aziz Afkar
** Watak Haryati di dalam novel Tenggelamnya kapal VDW oleh Hamka

3 comments:

TINTA EMAS said...

Maafkan hamba. Hamba tumpang singgah di sini, menghirup keindahan bahasa yang tuan hamba titipkan. Menimba ilmu di laman yang tuan hamba bina ini. Maaf sekali lagi, hamba ingin memperbetulkan tulisan tuan hamba, yang hanyut dengan labu-labunya bukan Jenin. Jenin mati kerana anganannya. Yang hanyut dengan labu-labunya adalah Luncai. Harap dimaafi kiranya teguran hamba menyinggung hati tuan hamba. Sesungguhnya hamba tidak bermaksud demikian.

TINTA EMAS said...

Maafkan hamba. Hamba tumpang singgah di sini. Di laman yang tuan ciptakan, menghirup kemanisan bahasa yang tuan hamba titipkan, menimba ilmu yang tuan hamba himpunkan pada kali ajar. Hamba ingin menegur, bukan Jenin yang terjun dengan labu-labunya. Jenin mati kerana anganannya. Luncailah yang terjun dengan labu-labunya. Maaf kiranya teguran hamba ini menyinggung hati tuan hamba. Hamba sekadar memperbetulkan apa yang sepatutnya, kerana Jenin dan Luncai itu kisah bangsa kita.

Hartini Omar said...

tuan tinta yg budiman,

terima kasih atas teguran. terima kasih atas kunjungan. akan saya perbetulkan jika diberikan kelapangan

teratak ini sudah terlalu usang. saya juga sudah semakin kurang mengunjunginya

terima kasih