Sunday, June 11, 2006

MELAYU itu pakaianku…

Panas cuping telinga mendengar kata2 bongkak manusia yang tak mengenal asal usul itu. Sakit hati bagai dirobek-robek hancur dek kata2 angkuh manusia melayu yang tak tahu malu. Bukankah dia juga melayu yang dulu makan ubi dan pisang rebus tatkala dijajah pengganas?? Yang lari lintang pukang bila kampung halaman diasak peluru dan meriam pantas?? Mengapa malu mengaku kemelayuan yang takkan puput walau diwarnai rambut sekuning rumput. Menggeleng kepala mengenangkan manusia yang lupa dari mana asalnya. Lupa siapa pertiwinya. Mabuk hayal dengan kemodenan dunia. Mengapa malu kepada melayu itu?? Kita kan melayu. Bahasa kita, kita yang punya.

Kugenggam tanganku seerat penumbuk. Kalau ikutkan hati, ingin saja kuajar mulut celupar yang tak berfikir sebelum berkata-kata itu. Mungkin tidak disedari wujudnya insan yang sangat sensitif terhadap perihal bangsa. Bukan kumembenci bahasa kemodenan inggeris. Bangga belajar dan diajar bahasa inggeris. Tahu akan kepentingannya di dunia maju kini. Cuma kegemaranku adalah bahasaku sendiri. Keobsesan yang hanya hadir pada pertiwi sendiri. Kerana kusayangkan bangsaku. Jika bukan aku yang memeliharanya, masakan tidak dimamah bahasa dan bangsa merdeka? Seimbas ku terkenang kata2 laksamana. “Takkan melayu hilang di dunia..” Benarkah? Entah.. Cuma bangsa kita bukan Quran yang maktub dipelihara Allah. Bangsa kita pasti hilang luput dijajah arus masa. Percayalah….

Guruku pernah berpesan, jadikan bahasa melayu itu pakaianmu, dan jadikan pula bahasa inggeris perhiasan kepada pakaianmu itu. Indah tutur cikgu. Dalam rangkap maksud membuatku mengangguk tanda setuju. Mungkin maksud cikgu, berbanggalah mengenakan bahasa melayu itu dimana2 dan gunakanlah bahasa inggeris itu tepat pada masanya. Bukan ber‘speaking’ nyaring dengan orang tua di kampung2 yang hanya menyambut dengan senyum sumbing. Itu bukan kemegahan tapi kebodohan. Bagai melayu yang lupa diri setelah masa remaja dihabiskan menjelajah negara penjajah. Pulang ke tanah air membawa onar pula. Menggeleng-geleng ibu bapa saudara-mara. Dengan kulit hitam kilat tetapi rambut merah saga. (senyum) Hmm.. entah apa dilihat manusia sampai buta dibutakan oleh merdeka. Merdeka yang dijajah. Bebas yang terbabas. Sebak hati namun tak mampu mengalir tangis ke pipi. Bimbang pegangan yang kian terkikis hakis bagai ajal menunggu mati. Susah bersuara pada anak merdeka yang hanya tahu berhibur berlibur. Jarang memikir masalah bangsa dan agama yang kian hancur lebur. Kian lama menyusur gugur.

Tengoklah, ke sana kemari mereka dengan pakaian yang menutup pangkal cuma. Dengan rambut yang bukan lagi hitam warna. Dengan bahasa yang entah apa cuma difahami mereka. Ya rabbi, tuhan. Itukah bangsa Tun Sri Lanang yang gigih mengungkai sejarah? Itukah zuriat Hang Tuah yang pada adat kasihnya tumpah? Pasti terkejut mereka andai serupa inilah bangsa Malaysia. Tenggelam dalam maksiat, buang adat buang akhirat. Malu mengaku itu bangsaku. Tidak… Mereka bukan anak melayu dijiwa, mereka melayu hanya pada nama dan keluarga. Tapi resam, ditinggal kepam, lapuk dan masam. Ah, Tini.. mana mampu kau berdiri seorang memperjuang yang dibuang, bagai melukut di tepian gantang. Melayumu itu akan pergi menyonsong, terbang bagai burung. Tanpa akal makmur yang sudi mengusung mengendong. Hhmm.. air tempayang dicedok segayung, mampukah memadam api di gunung????…….

2 comments:

Anonymous said...

Molek benar, bagai terletak
Tolonglah terus menulis

-Wan Ahmad

Hartini Omar said...

terima kasih atas penghargaan itu.. tanpa pembaca, penulis tak tentu ke mana..