Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
Diimbas sekali pantun di atas, apa tujuannya? Rasa bagaikan tidak patut membuang emak kerna turutkan kasih yang tuli lagi buta. CINTA. Ini semua kerja cinta. Cinta yang entah di mana awal akhirnya. Kenapa manusia bercinta? Tini, tanpa cinta, kau tak mungkin wujud dan lahir ke dunia. Ya, Cinta itu agung dan luhur. Cuma yang bercinta itu saja yang mempermainkannya. Tak tahu dan tak mahu menilainya. Sehingga cinta nampak lekeh dan sememeh. Cinta nampak mudah dan dipermudah.
Cinta tak semata-mata cintakan manusia. Kerana yang lebih agung adalah cintakan tuhan rabbul alamin. Tuhan yang menciptakan matahari dan bulan, yang mengharmonikan malam dan siang. Itu cinta sebenar. Tapi jarang yang bercinta dengan Pencipta. Kerana leka dengan cinta si penciplak cinta. Cinta kebendaan, cinta kekayaan, cinta keagungan dan dan dan… Maka gugurlah kita sebagai sang pencinta yang terkena panah asmara. Dulu, di zaman orang tua-tua kita, cinta adalah sesuatu yang ‘sacred’ dan penuh hikmah. Cinta bukan mainan dan paksaan. Tetapi cinta adalah kerukunan, kebajikan dan keamanan. Malah cinta juga adalah titian dan pertalian. Kerana itu orang dulu2 boleh hidup aman damai dengan cinta mereka. Cinta yang dibajai amanah dan taqwa. Tapi cinta kita??
Kita ta’asub dengan cinta. Lalai dengan kata cinta. Lena dalam rayu canda. Kerana itu kita buang emak, buang saudara demi cinta. Sampai ke mana hala tujunya? Yang laut kan tetap pulang ke laut. Yang darat akan terus bersemadi sampai akhirat. Tiada sungai tanpa kuala, tiada lautan tanpa muara. Bercinta lah. Tiada siapa melarangmu. Asalkan cinta itu kau jaga dengan rona warna yang suci lagi indah. Bukan dengan debu maksiat yang comot lagi karat. Dan pergilah mencari cinta2 di mana jua. Kerana jikalau benar kau bercinta, kau akan pulang jua mencari arah cintamu yang pertama- Cinta bonda, cinta ayahanda dan cinta saudara. Bukan lari dan pergi membawa cinta terlarang. Yang bakal menconteng warna hidupmu dengan hitam arang. Waktu itu kau bukan sebenarnya berjuang. Pejuang apa yang bertamu tika susah dan beredar tika senang??? Jangan begitu kesudahan hidup ini. Ingat lah bonda dan ayahanda yang bergadai nyawa demi kita. Jangan tiba ketikanya kita menjadi bagai burung yang lupa sarangnya, bagai kacang yang lupa kulitnya. Jangan… jangan sesekali. Tinggalkanlah pantun yang lemah lagi gundah ini. Tiada bagiku.. Tiada nasi lemak buah bidara dalam hidupku…
Keagungan Cinta
Agungkah cinta?
Andai berjumpa hanya untuk terpisah
Andai berkasih hanya untuk tersisih…
Bagai darat dengan lautan
Atau pungguk dengan bulan
Penantian yang tak berkesudahan…
Perlukah pengorbanan??
Cinta agungkah?
Andai bertemu bukan untuk bersatu
Andai bercinta tidak untuk bersama…
Laksana Tuah dan Teja
Atau Uda dan Dara
Berkorban kerana cinta…
Tidakkah sia-sia??
Biarlah…
Biarlah cinta-cinta agung itu…
Biar jasad jauh berbatu
Asal hati tetap satu…
Jangan seiring bak bayang-bayang
Namun hilang dek kelam malam…
Pemburu cinta:
-Hartini Omar-
1 comment:
Assalamualaikum
-Buat hartini...
-Tertarik saya dengan puisi cinta yang penuh dengan makna yg mendalam. Barangkali mungkin tak tidur malam tini mengarangnya ya? ;-)
-hmm...rangkap yang kedua ni amat menarik hati saya utk beri sedikit respons..
"Cinta agungkah?
Andai bertemu bukan untuk bersatu
Andai bercinta tidak untuk bersama…
Laksana Tuah dan Teja
Atau Uda dan Dara
Berkorban kerana cinta…
Tidakkah sia-sia??"
-hartini...
Bertemu berpisah, kedua-duanya milik Dia Pencipta. Apatah lagi 'Cinta'. Tini sendiri telah coretkan sebelum ini cinta yang agung hanya cinta kepadaNya. Namun, saya percaya manusia juga dapat mengagungkan cinta. Bagaimana?...bercintalah dengan manusia yang mencintai Dia sepenuh hati. Moga keagungan cinta itu dapat dirasai walau bukan bersatu akhirnya. Wallahua'lam
-jumpa lagi! Salam
Post a Comment