Thursday, January 24, 2008

Celik atau masih lena

Seronok benar membaca luahan rasa kaki2 politik yang mengikuti perkembangan politik tanah air di dalam blog The Scribe. Apa yang diperkatakan mereka memang banyak benarnya. Mereka meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap pucuk pimpinan negara. Ada yang sekadar melepaskan geram dan sakit hati dalam laman maya yang tidak didominasi sesiapa. Dalam laman ini, semua orang boleh berkata apa jua yang mereka suka, dan itu lebih realistik dan lebih tinggi kebolehpercayaannya

Sekarang ini orang ramai berteka teki akan hari pilihanraya umum. Ramai yang mengandaikan bulan Mac depan sebagai bulan pilihanraya diadakan. Bila pun pilihanraya, adalah lebih penting untuk kita bertanya akan diri kita, siapa yang kita mahu kita pimpin sebagai pemimpin dan siapa yang kita mahu julang sebagai pejuang?

Pilihanraya tidak cukup hanya dengan keluar memangkah. Pilihanraya akan hilang kesahannya bila kita anggap ia seperti upacara sekali dalam empat tahun saja. Anggaplah bahawa setiap satu undi kita akan menentukan buruk baik masa depan negara. Dengan itu, tentu saja kita akan lebih memikir dan mendalami dengan terperinci sebelum memangkah undi

Biarlah siapa pun menang asalkan yang menang itu mengotakan janji dan besar2 mulutnya sewaktu manifestonya dilaung2 dengan percuma. Janganlah setelah menang, yang dijanji itu dibuat tak endah saja. Di saat itu, tiada apalah yang lebih sia2 dari undi kita yang dibuat sambil lewa. Dan diwaktu itu, tiada apa yang boleh diubah kecuali menunggu lagi empat tahun peredaran masa

Aku maklum benar, ramai yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan tertinggi yang terlantik kini. Beliau dikatakan cemerkap, lemah, leka, lalai dan kurang stamina. Beliau dianggap bertuah kerana dapat menyambung kepimpinan negara yang sudah pun digilap dengan kilau dan sirnanya. Jika beliaulah yang baru merangkak mahu menggemilangkan negara, entah apalah jadinya. Aku pun merasakan sedemikian rupa. Seorang pemimpin harus tegas dan bersemangat, bukan malas dan lambat. Seorang pemimpin harus cermat dan kuat tekad. Seorang pemimpin harus bervisi dan berhati2. Bukan sekadar duduk dikerusi, membaca teks ucapan yang tidak pun beliau fahami dan melawat sana sini bawa bini

Biarlah, kita lihat saja. Semoga rakyat seperti kita dapat membuka mata hati dan jiwa. Pangkahlah sesiapa saja yang kita suka. Namun lebih indah jika yang kita pangkah itu dapat meberikan kebajikan dan pertolongan yang sebenar2nya buat rakyat yang tiada apa2 macam kita. Jadinya, kita tunggu dan lihat sajalah samada rakyat Malaysia benar2 sudah celik ataupun masih terlena....

3 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Nafastari said...

Anda menulis, "... digilap dengan kilau dan sirnanya."
Seolah-olah Cik Hartini tidak faham maksud "sirna". Cuba semak.

Saya berharap rakyat tidak memilih sesiapa sahaja yang mereka suka, tetapi memilih golongan yang tidak korup, serta yang baik untuk agama, moral dan kehidupan mereka.

hartini omar said...

tuan nafastari,
sy belum berpeluang menyemak maksud sebenar perkataan 'sirna' tersebut. walau apapun, terima kasih atas teguran dan semakan tuan