1 Muharram 1432. Kalendar masih lama. Tahun hijrah sudah yang baru. Aku pandang kalendar. Memang aku suka merenung berjurus2 kalau pandang sesuatu. Apa yang aku fikir? Fikir masa yang berlalu dengan sangat cepat. Tak tersedar. Tahun depan umur aku 27. Dua puluh tujuh?? Ya, sudah tua. Sudah terlalu tua untuk terus hanyut dengan dunia dan wacananya. Sudah terlalu amat tua untuk ambil hati dengan dunia dan isinya. Aku dah dewasa, aku tak boleh nak kecil hati dengan apa orang nak kata. Kata lah apapun ikut suka. Tak luak sikit pun kulit, isi dan darah
Memandang diari baru yang dibelikan oleh cik 'dia' (terima kasih banyak awak ^,^), aku dan diari, mana boleh dipisahkan. Diari membuat aku lebih cekap. Lebih teliti dan lebih bijak mengisi hari. Diari membantu aku mengemaskini beban kerja, mencari dan mencuri masa untuk aktiviti suka2 dan menulis apa saja yang terlintas di minda. Menulis itu hebat.. Dengan menulis kita sebenarnya menilai pendapat dan kemahuan diri sendiri. Dengan menulis kita sebenarnya menyelak langsir personaliti dan jatidiri kita untuk dikongsi dengan semua. Menulis itu satu perkongsian, tak kiralah ia dibuat secara formal atau santaian
Aku minat menulis seiring dengan minatku terhadap membaca. Bila aku ambil gambar dan arif tentang kamera, ramai yang bertanya adakah aku menghadirkan diri ke kelas atau mengambil jurusan khusus untuk fotografi. Jawapannya tidak. Aku cuma membaca. Membaca dan mempraktikkannya
Dunia yang maju ini makin mudah. Semuanya terletak di hujung jari kita. Sekarang tidak ada lagi alasan, "saya tak tahu masak..". Buka internet, google je la resepi apa pun, kemudian cuba masak sendiri. Lama2 mesti menjadi. Nak menjahit, nak bertukang, nak berfesyen, nak bermekap, nak bercucuk tanam, nak apa pun. Semuanya ada. Carilah saja
Macamtu jugak dengan ambil gambar. Google je fungsi2 tertentu, apa kegunaan dan hasilnya, dan praktis sehingga berjaya. Teori dan praktikal harus seiring. Kelas dan kursus khas memang terlalu bagus, cuma bayarannya sering 'bagus2' juga. Untuk orang2 biasa yang berpendapatan ciput macam aku, carilah saja yang percuma
Tahun berlalu. Tahun baru datang silih berganti. Aku ada lebih kurang tiga tahun sebelum angka TIGA mengetuk pintu usia. Ah, angka. Apa ada pada angka. Usia seharusnya mendewasakan. Namun masih ramai yang keanak-anakan mendepani dunia. Dewasa bukanlah pada angka. Dewasa adalah pada peribadi dan minda
Tahun baru hijrah. Orang hanya ingat 1 Muharram, 4 dijit kat belakang (1432) tu tak ramai yang hafal. Aku pun kadang2 lupa. Tapi kalau tahun baru masehi, orang lebih ingat 4 dijit yang belakang. 2010 la, 2011, la, 2020 la. Lucu. Manusia memang lucu bila kita amat-amati. Manusia yang menjadi kompleks dan rumit dengan sikap dan persepsi sendiri
Tiba2 rindukan mak di kampung. Musliha di kampung. Nasi di kampung. Air di kampung. Pokok di kampung. Tanah di kampung dan hidup di kampung itu sendiri. Aku lahir dan membesar di Kuala Lumpur, tiada kampung jauh2. Tapi jiwa sudah lama sebati dengan bayu dan hawa permai desa. Ah, kalaulah boleh cakap dengan mama dan papa yang aku dah muak bekerja, aku nak duduk dan menetap di kampung saja. Tak kisahlah kampung sesiapa. Jadi petani ke apa. Entahlah mereka dapat atau tidak terima
Semoga ada lagi tahun2 baru buat aku, jika Tuhan izinkan. Tahun2 yang datang dengan kebaikan dan keharmonian. Tahun yang datang dengan ketulusan cinta dan kasih sayang. Tahun yang datang dengan keikhlasan persahabatan dan setiakawan. Tahun yang mendekatkan dan mengeratkan. Tahun yang menyatukan dan mengikat tali persaudaraan. Tahun yang tidak akan lagi mengalirkan tangisan. Tahun yang datang dengan senyuman. Tahun yang direstui Tuhan.. Semoga ada ia, begitulah hendaknya
Selamat tahun baru semua!
No comments:
Post a Comment