Tuesday, December 30, 2008

Untuk lelaki bernama Johan

Dalam meniti kehadiran tahun baru ini, dengan insan2 sibuk menyimpulkan keazaman yang baru, tekad dan setia yang juga masih baru, telah lama juga aku melihat akan ada hati2 yang masih berlama-lama. Melayan rasa dan kerinduan buat insan yang kekal serupa. Meski bertahun2 lantas rupa dimakan usia, sehinggakan kesakitan dan luka yang diguris cinta telah hilang rasa sakit dan sendu tangisnya, namun tetap jua mereka2 itu menunggu-nunggu dan menanti-nanti hingga abadi, tanpa sebarang usaha untuk mematikan hati yang telah lama mati

Dan setelah sekian lamanya ceritera ini melampirkan kepingan2 gambar yang bercorak warna, biarlah pula kucorakkan cebisan ceritera ini dengan tulisan2 hati, yang mana biar pula tergambar di mata hati kalian akan kesakitan dan kepasrahan hati dan perasaan seorang teman. Maka di bawah ini jualah aku lampirkan kepingan2 itu, untuk mata hati dan jiwa2 yang jarang menipu

Selayaknya kita membacanya juga dengan hati dan budi bicara yang tinggi, meminggirkan bahasa2 akal yang bercorak zahir dan duniawi, kerana bicara2 hati, eloklah difahami dengan hati, bukan dengan tafsiran akal yang mengkal dan dangkal. Dan di sini aku suratkan ia, citra jiwa yang tak kenal erti putus asa.......

.................................................................................

Untuk lelaki bernama Johan

Kumulakan tulisan ini dengan nama Tuhanku, yang tentulah Dia maha pengasih dan penyayang, malah pasti lebih sayang daripada sayangnya aku terhadapmu. Sebelum meneruskan perjalanan tulisan ini, marilah kita panjatkan sebaris doa buat junjungan besar kita, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Kerana tanpa ketabahan mereka mengembangkan agama tercinta ini, mungkin telah kafir dan musyrik kita semua kini. Lalu jauh lah kita dari mencium bau syurga yang kekal abadi…

Dan marilah kita panjatkan juga doa buat ibu bapa kita, samada mereka itu masih hidup atau telah tiada jua. Kerana tanpa mereka, dan tanpa cinta Allah buat mereka, tiadalah juga kita lahir dan dapat bernafas dalam dunia, sehingga kita membesar lalu menjadi remaja-remaja yang diajarkan tentang cinta. Dan semoga hendaknya kita juga diberkati seperti mereka, menjalin hubungan dalam ertikata yang sebenar-benarnya, temu dan pisah kerana Dia juga…

Johan,

Walau di mana pun dikau berada kini, samada di atas putih salji bersama dedaun maple yang kering menguning, atau pun di atas pepasir sahara yang hangat hingga mengalirkan lelehan keringat di dahi, atau di negara kita sendiri yang senantiasa dituruni hujan yang membasahi, telah juga aku mendoakan kebahagiaan buatmu, keluargamu, dan dalam tiap-tiap pekerjaan yang engkau kerjakan. Kerana aku sendiri maklum, engkau pemuda tekun. Tekun melakukan sesuatu yang tentulah baik-baik semuanya, sebaik peribadimu yang telah menghidupkan pesona jiwaku, sehingga menjadi pasrah dan berserah pada takdirNya...

Johan, jejaka pilihan....

Sebagai wanita yang sangat terhad tingkah dan lakunya, mafhum dan akalnya, tidaklah dapat aku memaksa-maksa untuk engkau kembali ke sini, atau sekurang-kurangnya bertandang di hadapan mata ini, agar tamatlah segala penderitaan hati. Kerana selama lebih empat tahun perkenalan kita ini, tiadalah juga kita melangkaui norma-norma kecenderungan manusia, adat dan agama yang sangat kita sanjungi. Cuma seperti kataku tadi, kelebihan peribadimu itulah yang telah memerangkapku, sehingga jiwa yang degil dan tidak reti bahasa ini telah pula menginginkan yang lebih dari selayaknya, lalu serasa pulalah akan bersalahnya jiwa

Engkau juga telah aku lihat seperti selalu mengambil tahu, atau sebetulnya terlalu mahu mengambil tahu, sehingga mekarlah jiwaku dengan impian-impian yang bersatu padu. Wahai lelaki, aku ini perempuan yang dicipta Tuhan penuh dengan kerinduan dan keinginan. Aku ini telah diciptakan untuk menghargai segaris sayang yang dicurahkan, sehingga ke suatu tahap di mana sayang dan cinta yang datang itu tidak dapat lansung kubuang-buang. Betapa gusarnya kehidupanku ini. Menanti-nanti sesuatu yang nyata aku sendiri tidak pun pasti

Namun aku juga bukanlah selemah mana, sehingga tamat dan berhenti riwayat hidup ini mengenangkan cinta; tidak! Aku bukan selemah itu. Kehidupan tetap aku teruskan dengan senyum dan mesra-mesra yang aku sendiri cipta. Dan kerana hati itu tidak dapat ditontoni, maka tiada jugalah terlihat akan kelukaan hati yang telah bagai sakit-sakit dan kehibaan menunggu mati

Johan, lelaki budiman..

Aku musykil benar di akalku, atas sebab apa engkau terus-terusan kekal di sana. Adakah kerana pernah aku menyebut-nyebutkan yang tak sepatutnya, sehingga terguris perasaanmu lalu engkau membawa dirimu jauh-jauh. Atau engkau sendiri mempunyai masalah yang tidak layak untuk aku memakluminya. Atau apa saja alasanmu, namun berilah sedikit penyebab, agar tenang diri ini menempuh hidup dan hari-hari yang seterusnya. Agar dapatlah pula aku meneruskan satu perjalanan baru dengan tenang dan setulusnya tanpa sangsi dan prasangka

Aku tidak dapat menyatakan di sini betapa sukarnya untukku mencari pengganti. Pengganti kepada teman sebudiman dirimu. Pengganti kepada perhubungan yang semurni dan secekal ini. Kerana hubungan yang Tuhan ciptakan buat kita ini terlalu penuh dengan seni dan keindahan. Kerana dalam sakit dan sengsara ini pun dapat aku rasakan kemanisannya. Terlalu manis untuk dilupakan begitu saja

Kita tidak pernah menjanjikan apa-apa dalam hidup, tidak pernah bermati-matian mengatakan cinta sehingga tak terdaya mengotakannya. Kita tidak pernah memberi dan menerima, tidak pernah berjanji lalu bercanda. Kita cuma berkongsi ketulusan hati dan jiwa raga, berkongsi perjalanan diri dan ceritera dunia. Dan atas dasar perkongsian itulah kita binakan kesayangan, kesayangan yang sebetulnya tanpa ada sebarang tuntutan dan paksaan

Dan setelah lama juga kutanam, kusiram dan kubajai sayang itu, sehingga kalaulah ia sebatang pohon, telah amat rendanglah ia membuahkan buah-buahan yang lebat ranum, engkau hilang tiba-tiba tanpa pesanan yang sebaris cuma. Telah mati akalku memikir-mikirkan sebab kepergianmu itu, sehingga aku sendiri lemah-lemah dihirup akal yang keras bekerja

Mengapa Johan, adakah engkau sakit, sehingga jika aku mengetahuinya akan matilah jiwa dan jasadku? Atau adakah engkau itu telah dipaksa memberikan cinta dan jiwa pada yang lainnya? Hee, beritahu lah, Johan. Aku pasrah menerimanya. Kerana seperti yang kunyatakan kini, engkau tidak pernah berjanji apa-apa, lalu mengapakah engkau gusar jika janjimu tidak terlaksana.. Aku ini perempuan yang dikurniai ketabahan jiwa, serasa mampu saja untuk aku menerimanya. Bukankah telah memakan setahun dua juga bila saat engkau hilang tanpa berita? Ayuh, khabarkanlah ya...

Lelaki,

Rasanya telah sampai ke penamatnya tulisan aku kali ini, yang mana tulisan ini aku sendiri tidak pasti samada mampu atau tidak untuk engkau membacanya. Membacanya lalu memahaminya. Namun anggaplah ini sebagai salah satu usaha murniku untuk menyelamatkan persaudaraan kita, andailah ia dapat diselamatkan. Namun jika tiada juga ditakdirkan untuk kita kebahagaian yang kita cari-cari itu, maka sudah tentulah pasrah aku menerimanya penuh rela dan redha, atas alasan Tuhan itu tentu saja penuh dengan wacana dan rancanganNya yang lebih istimewa

Sekian saja untuk kali ini. Lagi sekali kudoakan dikau bahagia, bertemu jaya dalam setiap lapangan kehidupanmu. Ketahuilah bahawa sayangnya aku pada hubungan ini adalah kerana sayangnya aku kepada Tuhan yang menciptakan makhlukNya sebaik dirimu. Mengertilah seadanya bahawa aku memohon maaf atas segala kekurangan dan kekhilafan yang pernah kulakukan, nyata atau yang jauh dari pandangan. Semoga hendaknya tenanglah jiwa-jiwa kita yang kekusutan dan tidaklah ia menjadi bagai bara yang tersimpan....

Sekian,
Temanmu yang dulu-dulu..
Semenanjung,
Malaysia

11 comments:

Mazarina said...

ke mana Johan nih?kalau sarawak, sy carikan.hehehee

Anonymous said...

kalaulah aku Johan itu...

Hartini Omar said...

mazarina,
-kalau jauhnya setakat di sarawak, jgn kata tuan, saya sendiri pun akan turutkan..

anonymous,
-'kalaulah aku johan itu..., lalu?'
-laman saya jarang menerima kunjungan anon., maka siapakah tuan sebenarnya?

terima kasih menyinggah

Ishan_Qureshi said...

Salam HARTINI,

Aduhai, bicaramu benar-benar menghiris jiwa. Andai Johan membacanya, pasti ia akan segera pulang ke pangkuanmu. Ternyata, sayang dan cintamu pada Johan terlalu dalam dan kudus. Patutlah kamu tidak mempedulikan kehadiranku kerana Johan lebih terkesan di hatimu. Walaupun kamu tidak pernah menghiraukanku, daku tetap memaafkanmu kerana kutahu cinta itu buta. Kamu telah dibutakan oleh dek penangan cinta si Johan. Cuma satu hal ku ingin tanyakan padamu, adakah Johan-mu itu Syed JOHAN Al Yahya? Andai itu orang yang kamu cari, ketahuilah olehmu bahawa Johan itu telah pun menjadi suami dan bapa orang. Dia adalah bapa kepada teman baikku, Syed Fishol Hanzalah bin Syed Johan Al Yahya. Hehehe...juz kidding, jgn mrh naa:-)

Apa pun, saya doakan supaya Johan kamu itu segera pulang ke pangkuanmu. Jika dia masih tidak peduli sama kamu, ternyata dia benar-benar menolak tuah kerana telah meninggalkan seorang wanita sehebat dirimu:-)

Naya saal mubarak (slmt thn baru) Wassalam!

Hartini Omar said...

ishan,
-kamu buat saya tersenyum. nyata kamu bukan seorang pembaca yg teliti. johan itu bukan milik saya. dan cinta saya bukan buat dia. kisah yang saya coretkan ini adalah kisah SAHABAT BAIK saya yang selama mana pun masih menunggu cintanya

saya masih sendiri.. masih menanti2 kehadiran insan yang dapat menerima buruk baik saya seadanya. siapa dia? entah, saya juga belum mengenalinya =)

terima kasih menyinggah ya!

Ishan_Qureshi said...

Salam HARTINI,

Bukan saya tidak teliti...saya lebih drpd teliti orangnya. Saya sengaja buat begitu krn mahu kamu kembali senyum...sentiasa senyum...dan terus tersenyum:-)

Anonymous said...

Ada yang hilang ketika kau hilang…
Hatiku jiwaku…
Ada yang pergi ketika kau pergi…
Senyumku tawaku…
Hidupku ikut hilang bersamamu…
Cintaku ikut pergi bersamamu…
Sementara ku masih di sini…


TENTANG DIA...
m@syit23

peace said...

selamat tahuns baru ;)

"Sahabat yang dulu-2" said...

Hartini,
Terima kasih untuk pengertian yang begitu mendalam...Ketahuilah yang sahabatmu ini begitu menghargai nukilanmu kali ini.

Terima kasih kerna mengerti,
~sahabatmu~

Anonymous said...

Askm lead...ape kabar?sori ek, aku x guna bahasa2 cantik cm ko..dah kebetulan aku online,so nklh bertanya kabar...hari2 lalu dpn umah ko tp aku x singgah..sori ye..bkn ape,nksinggah tp segan..anyway,gudluck 4 evrything u do..all da best..klau jln2 kt sijangkang,singgah la ke teratak buruk kami..tp, inform dlu..tkt yg sambut nti cme kucing ngan lembu je..jg dri k..wslm..

Hartini Omar said...

masyit,
ah, kamu hebat benar! terus menulis ya

ustazah,
-selamat tahun baru juga

sahabatku,
-aku kan diciptakan untuk memahami insan... ;)

mye,
-nape tak singgah. nampak keta merah aku tu, means aku ada umah la. mostly weekend aku kat klang. time keje je di cheras ni.. next time jgn segan2 ye