Saturday, September 29, 2007

Tembolok jiwa...

Lama aku terpaku di hadapan skrin komputer. Terasa berat benar jejari mahu menaip sebaris dua. Bukan kerana hilang kudrat akibat puasa, tetapi kerana keringnya bahan untuk dibuat cerita. Makanya kehidupan terasa hambar, menulis terasa sukar dan hati terasa gusar. Apa jualah yang ingin dititip lagi. Terasa segala2nya telah dikongsikan di sini. Sedangkan tembolok jiwa meraung bingit minta diisi. Bukankah semuanya telah diceriterakan? Tentang manusia dan penciptanya, tentang alam dan penghuninya, tentang orang ramai dan sifat2 mereka… bahkan mungkin tentang dunia dan cekerawalanya. Lalu apa lagi yang ingin diselusuri dalam hidup ini? Aku pun kurang pasti...

Nyata penulisanku hanya untuk kisah2 yang memberi peringatan. Kisah2 yang boleh jadi sempadan dan tauladan. Bukan yang penuh dengan ketawa berdekah2 (sedangkan aku ini boleh melucu juga). Tetapi bila saja jari menaip bibit2 kisah di dalam ceritera, jiwa aku jadi Tini semula. Jiwa Tini yang sering bahagia dalam gundahnya, sering senyum dalam murungnya. Entahlah, mungkin juga kerana yang gembira itu sering saja dipunyai sesiapa. Makanya tiada lagi hadir rasa megah dan istimewa. Tetapi jika sedih dan melarat, jika sakit dan tenat, bukan semua mampu rasa. Bukan semua orang rasa. Sedangkan yang sakit dan susah itu lah yang memberiku buah fikiran yang tiada tolok bandingnya. Nah, jadi apakah aku suka bergelumang dalam dukacita sahaja? Bagai para abid yang sanggup hidup terlonta2, tanpa wang tanpa harta....................?????? Jawabnya tidak juga. Tetapi hati lebih tertarik dengan penderitaan sesetengan golongan. Bagaimana susahnya mereka mengharung lautan, betapa gigihnya mereka meredah hutan, bagaimana cekalnya mereka mencari sesuap makanan. Itu yang aku cari. Itu yang aku ingin untuk dibuat bahan berkongsi. Itulah preskripsi hati ini

Aku berangan2 untuk terbang ke seluruh dunia. Melihat bagaimana gembiranya hidup orang kaya2. Bagaimana girangnya hidup mereka dengan nama dan harta. Dan ingin jua aku singgah di tanah2 tandus yang kering segala. Yang masyarakatnya legam kehitaman, derita kekurusan, lapar kebuluran. Mahu aku bersama mereka, menyelusuri perit getir hidup agar wujud rasa taajub. Tapi perjalanan yang sebegitu memerlukan wang ringgit yang bukan sedikit. Lalu mungkin juga memerlukan teman susah dan sakit. Jadi masih jauh impian itu untuk direalisasikan. Dan lagi sekali hatiku perit menanggung kekecewaan

Namun kata hati lagi, tidak perlulah aku merantau ke seberang lautan, sedangkan di tanah ini pun banyak perut2 yang kekosongan, banyak anak2 yang hidup kebuluran, banyak keluarga2 yang masih berpanas berhujan. Iya juga... tapi di mana mereka, bagaimana pula caranya agar dapat aku kongsikan cerita mereka pada dunia? Aku mahu menulis, tetapi tidak mahu jadi penulis. Aku hanya mahu menulis. Itu saja... Kerana menulis itu hobiku, penawar dukaku, dan bukanlah pekerjaan dan cita2 ku. Ah, sukar benar kau Tini, yang pelik2 nak diikutkan hati!

Aku suka menyendiri, suka bersunyi2. suka berangan2 dan suka ketenteraman. Namun di lain2 ketika, aku suka bersama2 masyarakat dan keluarga. Bergurau senda, bergelak ketawa, bersembang seloka... itu pun aku minat juga. Aku suka ke kampung2, bertemu orang2 tua yang keseorangan, bertemu makcik2 yang tiada pertalian, sekadar mengambil iktibar kehidupan. Aku suka hadir ke majlis2 kenduri dan di satu sudut aku akan diam memerhati manusia yang berbagai lagaknya. Lalu pandanganku akan bermain2 dengan akal dan jiwa. Dan ada ketikanya aku suka hilang dari pandangan manusia. Suka bermenung2 memikir masalah yang bukanpun difikir sesiapa. Suka merenung berjurus2 hingga terasa benci benar aku dengan suara2 manusia. Benci benar dengan kehidupan yang penuh permainan dan kepura-puraan, penuh skrip dan lakonan............

Maka apa agaknya yang aku cari dalam hidup ini? Aku tidak mahu hidup hanya dengan mengikuti percaturan orang lain. Orang kerja, aku kerja. Orang makan, aku makan. Orang merantau, aku merantau, orang menulis, aku pun menulis. Tidak! Aku tidak mahu. Aku mahu sesuatu yang aku lakukan ada arah tujuan. Ada keberkatan dan penghayatan. Ada hikmah dan pengajaran. Tetapi aku ini siapa pun lah.. Sekadar Tini yang selemah2 manusia. Yang kata2 ku hanya diam bersemadi di entri ini. Diam dan pasti dilupakan di suatu hari... ah hati.... wahai, sukar benar kau ini!

Nantilah... Aku akan mengumpul wajah2 tua di seluruh pelusuk negara, tak kira siapa tak kira warna, dan akan aku pampangkan dalam Ceritera. Biar bergema kisah mereka di setiap inci buana. Mungkin ada kisah suka, dan mungkin ada kisah duka. Nantikanlah ya.. dan doakan lah juga aku berjaya. Kerja ini pasti makan masa, namun dengan izin Tuhan, akan kuhabisi jua. Biar lapang rasa dada. Biar tenang rasa minda. Biar terisi tembolok jiwa, yang sering bising lapar dahaga......

2 comments:

Anonymous said...

Kurangnya rasa kecintaanmu pada dunia,nescaya kurang juga kedukaanmu pada dunia..
-lutfi..

hartini omar said...

tuan lutfi,
dalam sungguh maksud kata,
merungkai rasa jiwa yang sering kelana..
terima kasih yang tak terhingga,
tuan datang menerangi mata sy yang selama ini kabur buta..