Wednesday, September 19, 2007

Nilai Harga Mama

Mama bangun awal. Seawal jam 4. Mama basuh beras, tanak nasi dan ricih bawang. Mama masak sup sayur, masak sambal tempe kentang, dan goreng ayam untuk adik2 yang memang suka ayam. Sambil itu mama jerang air, rebus telur masin, sediakan pinggan cawan, dan bancuh air teh o untuk kami anak beranak

Tepat pukul 5, mama naik atas, kejut papa, kejut aku, dan menyuruh aku kejutkan adik2. Papa tak menyuruh adik2 berpuasa, sebab mereka masih kecil. Darjah dua dan tiga. Tetapi adik2 yang sudi nak melatih diri. Jadi papa tak kisah, mama pun suka adik2 belajar berpuasa. Selalunya adik2 mesti siapkan menu pada mama untuk bersahur. Dan menu itu tak pernah berubah. Ayam goreng semata

Aku gerak adik2. Bahu Qamarul aku goncang perlahan. Nama Fazrin aku panggil2 lembut. Adik bukak mata. “Bangun, Arul… Sahur. Mama masak ayam goreng..” kataku dengan senyuman. Marul bangkit laju. Masuk ke bilk air, gosok gigi, cuci muka dan turun ke bawah.

Aku panggil nama Fazrin. “Bi…, bangun sayang..” utarku lembut. Yang bongsu manja ini liat juga. Aku goncang bahunya. “Bangun sahur, cepat. Mama masak ayam..” Fazrin bangun menggosok mata. Masih melayan kantuk yang bersisa. Lalu berjalan terus menyusuri tangga. “Eh, gosok gigi, cuci muka…..” ingatku padanya. Dia berpatah semula dengan mata kuyunya. Aku turun kebawah, mengetuk pintu bilik si bujang teruna. Adikku yang berusia 21 itu bersuara. Sekadar berkata, “Bangun dah...”

Lauk pauk sudah terhidang, air panas sudah bertuang. Pinggan mangkuk sudah tersusun, nasi pun telah beradun. Aku senyum memandang mama. Wahai, cekalnya hati tua.. berkhidmat tak kira masa. Aku biasa hidup susah, kerana dulupun kami bukan orang berada. Cuma sekarang bisnes papa bertambah cerah, rezekinya makin murah. Aku biasa duduk asrama, makan apa ada dan tidak banyak kira. Tapi adik2 yang kecil dah biasa hidup senang. Bukak2 mata dah kenal wang. Mama papa selalu berpesan, kesenangan bukan selalu berpanjangan. Hari ini makan ayam, mungkin esok makan ikan. Dan lusa mungkin tiada lansung makanan. Jadi, jangan banyak arahan...

Pagi itu kami makan bersama. Sudah dewasa begini, bukan senang mahu berjumpa. Selesai makan papa pesan pada kami, jangan lupa basuh pinggan sendiri. Adik2 menuruti

Aku sembang lama dengan mama. Tentang kerja, tentang putrajaya, tentang puasa. Kami seronok bersama. Aku pelawa mama untuk rehat, biar aku buat kerja. Mama jawab perlahan. Waktu inilah mama nak dapat lebih pahala. Memasak ikhlas untuk keluarga. Mama kata ini masanya. Masa aku akan sampai jua. Mama kata biarlah dia berbakti selagi masih bernyawa. Aku senyum pandang mama. Dan teringat, bila aku di putrajaya, aku juga harus bangun seawal mama.

Sembangan kami terhenti bila suara azan sayup2 menyusuri. Aku tolong mama kemas meja, cuci pinggan kuali. Dan minta diri untuk bersolat pula. Mama jua turut ke atas, mengikut papa yang sudah bersiap sedia di atas sejadah

Semua ibu pun begitu, aku tahu. Tatkala ayah dan anak2 tidur nyenyak pulas, mereka di dapur kerja keras. Mama kata hanya satu tanda bahagia sebagai ucapan terima kasih. Habiskan makanan yang dimasaknya hingga licin bersih. Aku senyum sengih...

Kelebihan ibu lebih nampak di bulan puasa. Para ibu tahan bangun awal, melelapkan mata hanya sejam dua. Tidak mengadu pening kepala, tidak bising longlai lemah. Di situ datang bangga. Itulah gunanya wanita, pendamping lelaki2 bertuah. Di rumah menjaga keluarga, di luar menjaga agama

Petang esoknya mama buat roti jala untuk juadah berbuka. Mama masak bubur kacang durian, dan sedekahkan semangkuk pada jiran. Aku senyum tengok mama. Sewaktu aku melangkah masuk kereta untuk pulang ke putrajaya, mama hulurkan gulai taucu ikan tenggiri. Mama kata bekal buat bersahur. Dan tidak sedar waktu itu air mataku jatuh gugur. Menahan rasa terharu melihat jiwa luhur. Seketika rasa kecil semula, ditatang dimanja mama. Moga mama dikurniai pahala yang tiada tara. Dijanjikan Syurga Allah taala... Terima kasih mama......

2 comments:

nafastari said...

Semoga Tuhan merahmati mama kamu, didoa agar ia gembira, sihat dan panjang umur.
Amin.

hartini omar said...

tuan,
terima kasih kembali
semoga begitulah hendaknya
dan semoga saya bisa secekal mama juga
-syukran laka!