Baru benar luahan hati dan teguran seorang sarjana yang sayangkan pembangunan dan kedaulatan bahasa bangsanya. Baru benar rencana itu diwarwar pada semua mata2 yang sudi membaca. Namun yang ‘makan cili terasa pedasnya’ itu sudah pun melenting menyangkal dengan alasan yang berbagai rupa. Apakah salah jika diambil teguran itu sebagai kata2 yang menjana minda? Bukankah orang di luar lebih luas dapat memandang apa yang berlaku di dalam? Ah melayu, lekas benar naik marah. Pantang benar dicalar egonya…
Yang diperkata sarjana itu ada betulnya. Memang benar banyak yang dibahasakan kini secara rasminya adalah peminjaman dari bahasa Inggeris saja. Prof Emeritus Dr. Nik Safiah Karim pun menegur dan bersetuju dengan isu. Iyalah, kalau difikirkan, perkataan ‘bajet’ yang dulunya ‘belanjawan’ pun kita korbankan, di mana rasionalnya? Kenapa, ramainya di Malaysia yang luhur makmur ini hanya faham kata ‘bajet’ sajakah?? Tahu ‘snek’ saja, tahu ‘parkir’ saja?? Lainlah kalau yang kita melayukan itu istilah2 sains dan teknologi, tentu saja dapat akal menerimanya. Ini tidak, yang mudah2 seperti belanjawan (menjadi bajet), makanan ringan (menjadi snek), permohonan (menjadi aplikasi), dan tempat letak kereta (menjadi parkir) pun dimelayukan dari perkataan bahasa inggeris (budget, snack, application, parking) , nampak benarlah melampaunya....
Meminjam dari bahasa Inggeris itu tentu saja memberi musykil yang bukan sedikit. Dulunya, perkataan ‘aplikasi’ adalah perkataan bahasa melayu yang membawa sesuatu maksud perbuatan. Contoh ayatnya : ...mari mengaplikasikan sistem tersebut...... Dalam bahasa inggerisnya, aplikasi adalah apply - ...let’s apply the sistem.. Itu yang aku faham... DULU!
Sekarang ini, perkataan aplikasi itu boleh juga diertikan dengan ‘permohonan’ @ application. Ayat paling lazim yang kita baca kini adalah sistem aplikasi online. Bahasa melayu ‘betul’ kah istilah “aplikasi online” itu? Sekali fikir, melayu pun tidak, inggeris pun tidak. Apalah salah ditulis terus (sistem permohonan dalam talian) – kalau mahu sangat berbahasa melayu baku, ataupun (on-line application system) untuk bahasa inggeris daripada dicampuradukkan perkataan melayu dan ingeris menjadi ayat yang tak menentu hala. Bukankah nampak celaru dan haru biru??
Jangan lah melenting tak kena tempatnya. Isu bahasa ini harus ditangani secara bersama. Bukan DBP saja, malah semua. Mari lihat, sektor2 swasta berlumba2 mengambil pekerja yang mahir berbahasa Inggeris. Dan sekarang ini, sektor kerajaan pun terikut2 mengagung2kan bahasa penjajah. Nah, jadi apa guna memperkasakan bahasa melayu, belajar bahasa Inggeris saja sudahlah. Kalau mahir bahasa Inggeris boleh senang dapat kerja! Kalau arif bahasa Melayu, tak siapa nak ambil tahu…
Biarlah, kita lihat saja apa kesannya kepada bahasa melayu kita. Kerana kita kini pun suka ber I-U, I-U saja.. pelik tapi benar. Itulah kita. Itulah isu bahasa kita. Isu bahasa yang semakin parah!
No comments:
Post a Comment